Foto: Ismail Sabri Yaakob
PUTRAJAYA, 17 Mei (Malaysiaaktif) – Pusat hiburan masih tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, ini kerana pusat hiburan masih diletakkan di dalam senarai larangan beroperasi sepanjang PKPB.
“Pub dan kelab malam tertakluk di bawah pusat hiburan, dan kita tidak akan berkompromi dengan perkara berkenaan, selagi rantaian wabak COVID-19 ini masih belum berjaya diputuskan sepenuhnya.
“Jika ada laporan, kita akan maklum kepada pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), untuk mengarahkan tutup pusat hiburan ini,” katanya dalam sidang media harian PKPB, di sini, hari ini.
Sebelum ini terdapat laporan pub dan kelab malam di beberapa lokasi di ibu negara, sudah mula beroperasi.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan memastikan kawasan sempadan negara sentiasa terpelihara dan tidak dibolosi, pendatang tanpa izin.
Katanya, sekiranya pihak penguatkuasa berjaya memintas pendatang tanpa izin itu sebelum masuk ke sempadan negara, mereka akan diusir serta-merta.
“Sebagai contoh, beberapa bot membawa warga Rohingya yang belum sempat masuk, kita mengusir mereka dengan segera.
“Walaupun ramai yang marah tetapi kita tidak kejam, malah kita memberi makanan kepada mereka sebelum diusir,” katanya.
Ismail Sabri berkata bagi pendatang tanpa izin yang ditahan di dalam kawasan negara, mereka akan menjalani hukuman, sebelum dihantar pulang ke negara asal.
“Pendatang tanpa izin yang ditahan akan ditempatkan di depot tahanan dan dihadapkan ke mahkamah sebelum diusir dari Malaysia, dan nama mereka akan disenarai hitamkan,” katanya.
Beliau berkata urusan membawa pendatang tanpa izin itu pulang ke negara asal akan ditanggung sepenuhnya oleh kedutaan negara masing-masing, ataupun ahli keluarga mereka.
Sebelum ini, Ismail Sabri memaklumkan seramai 1,408 pendatang tanpa izin yang cuba memasuki negara ini secara haram melalui lorong tikus, darat dan laut, ditahan dari tempoh 1 Mei sehingga Jumaat lepas.
Selain itu, pihak berkuasa sudah mengenal pasti dan menahan 14 tekong yang terlibat dalam percubaan membawa masuk pendatang tanpa izin terbabit.
— BERNAMA