Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

JAKOA Nafi Dakwaan Orang Asli Bukit Lagong Tidak Terima Bantuan Makanan

By 27 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 27 Mei (Malaysiaaktif) – Mesej yang tular di aplikasi WhatsApp mengenai penduduk Kampung Orang Asli Bukit Lagong, Selangor tidak menerima sebarang bantuan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah tidak benar.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Profesor Dr Juli Edo berkata dalam mesej tular itu juga, terdapat individu yang mengambil kesempatan membuat kutipan dana orang ramai menggunakan akaun CIMB atas nama Noor Aziah Mat kononnya bagi menyalurkan bantuan kepada masyarakat Orang Asli terbabit.

“JAKOA ingin menegaskan bahawa mesej tular berkenaan adalah tidak benar sama sekali dan kutipan yang dibuat individu itu juga tidak mendapat kelulusan pihak JAKOA.

“Sebenarnya, sepanjang tempoh PKP bermula 18 Mac lalu, masyarakat Kampung Orang Asli Bukit Lagong telahpun menerima Bantuan Bakul Makanan JAKOA sebanyak tiga kali iaitu pada 7 April, 16 April dan 8 Mei yang meliputi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung gandum, garam, gula, serbuk teh, susu pekat manis, sardin dan kicap,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Justeru itu, JAKOA menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dalam menerima kenyataan sebegini lebih-lebih lagi yang melibatkan kutipan dana dan hendaklah sentiasa mendapatkan penjelasan daripada pihak JAKOA jika menerima sebarang kenyataan berkaitan masyarakat Orang Asli.

“Sebarang pertanyaan berkenaan masyarakat Orang Asli boleh dibuat melalui Bilik Gerakan JAKOA di talian 03-2161 0577 atau melalui e-mel [email protected],” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda