PUTRAJAYA, 4 Mei (Malaysiaaktif) – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah mengagihkan sebanyak RM329,253 menerusi Tabung Bencana Tanaman Padi kepada 256 pesawah di Perak yang terjejas akibat banjir pada penghujung tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata penerima yang layak melibatkan empat daerah iaitu Kerian seramai 128 orang, Hilir Perak (60), Perak Tengah (58) dan Kuala Kangsar (10) membabitkan kawasan seluas 401.21 hektar.
Katanya dua jenis bantuan diberikan iaitu Bantuan Penanaman Semula Padi berjumlah RM876 sehektar setiap seorang.
“Satu lagi adalah Bantuan Kerugian Hasil Padi sebanyak RM1,800 sehektar setiap seorang dan jumlah maksimum bantuan kepada pesawah yang layak adalah sebanyak tiga hektar.
“Kejadian itu berlaku semasa peringkat tanaman padi berusia antara lima hingga 80 hari selepas tabur biji benih dan disebabkan bencana banjir yang berlaku, pesawah mengalami kerugian besar, menyebabkan hasil tidak dapat dituai pada masa yang sepatutnya,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.
Abdul Yunus berkata tabung itu diwujudkan bertujuan membantu penanam padi terjejas akibat pelbagai faktor seperti bencana alam, penyakit tanaman padi yang bukan disebabkan oleh kecuaian manusia serta lain-lain bencana yang diisytiharkan oleh Jabatan Teknikal dan Jawatankuasa Teknikal kementerian itu.
“Diharapkan dengan penerimaan insentif ini dapat membantu pesawah yang terlibat meneruskan aktiviti penanaman padi di kawasan masing-masing,” katanya.
— BERNAMA