Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

LRA Sg Selisik Dihenti Tugas, Jejas Lebih 700 Akaun

By 28 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 28 Mei (Malaysiaaktif) – Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisik telah dihenti tugas bermula 11.45 malam tadi berikutan pencemaran sumber air mentah akibat tumpahan minyak diesel susulan kemalangan sebuah lori tangki diesel di Km 389.5 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Behrang, Selangor.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata henti tugas LRA Sungai Selisik itu telah menyebabkan lapan kawasan  di Hulu Selangor, melibatkan 742 akaun pengguna, mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

“Kawasan-kawasan terlibat ialah Kampung Sungai Nilam/ Kampung Seri Pagi, Kampung Lalang Sungai Selisek, Rumah Murah Pkt 2, Kampung Serigala, Kampung Org Asli Serigala, Kampung Bahom, Kampung Sekolah dan Kuarters Klinik serta Kampung Gesir Tengah.

“Air Selangor bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Perak telah mengambil tindakan pantas dengan memasang perangkap minyak diesel di kawasan muka sauk LRA tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Air Selangor turut berkata pihaknya mula menggerakkan lori tangki air ke kawasan terlibat bagi mengagihkan bantuan bekalan air kecemasan kepada pengguna terbabit.

Air Selangor akan mengemas kini maklumat pemulihan bekalan air ke kawasan terjejas kepada pengguna dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Sementara itu, LUAS dalam kenyataannya berkata kemalangan di antara lori tangki diesel dan van keselamatan tersebut menyebabkan tumpahan bahan bakar mengalir ke Sungai Siah di Perak.

“Ekoran kemalangan tersebut, siasatan di kawasan terlibat dijalankan menyebabkan LRA Sungai Selisik yang terletak pada jarak 2.7 kilometer di hilir sungai berkenaan terpaksa dihenti tugas,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda