
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
RAWANG, 9 Mei (Malaysiaaktif) – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Rawang turun padang bagi menyerahkan bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) kepada keluarga bekas wartawan, Allahyarham Zulzila Zulkifli.
Bayaran berjumlah RM2,000 itu diserahkan kepada suami arwah, Mohd Izuddin Maarop, 48, disaksikan empat orang anak beliau yang berumur 14 hingga 21 tahun di kediamannya di Bandar Tasik Puteri, di sini hari ini.
Pengurus Perkeso Rawang, Zamri Draman, berkata bantuan itu diberikan setelah mendapat maklumat tentang pemergian arwah yang berusia 49 tahun itu melalui media sosial.
“Berdasarkan maklumat yang kita dapat, Perkeso dapat menjejaki waris arwah Zulzila dan semakan mendapati layak Pencen Penakat berjumlah RM800 sebulan, suami arwah juga merupakan penerima Pencen Ilat sejak 2009.
“Pencen ini akan dibayar seumur hidup waris arwah atau sehingga anak-anaknya mencapai usia 21 tahun atau tamat belajar peringkat ijazah pertama.
“Memandangkan suami arwah tidak dapat menguruskan diri sendiri, Perkeso akan bayar Elaun Layanan Sentiasa (ELS) berjumlah RM500 sebulan kepada penjaganya serta rawatan hemodialisi dan ubat-ubatan,” katanya.
Katanya, manfaat yang diperolehi pencarum atau warisnya sangat besar sekiranya berlaku musibah atau kematian walaupun bayaran caruman bulanan Perkeso adalah kecil sahaja.
“Kerajaan menetapkan bayaran caruman Perkeso dalam kadar yang kecil sahaja, namun faedah yang diperolehi oleh pencarum atau warisnya sangat banyak serta membantu keluarga tersebut.
“Saya menyeru agar orang ramai mencarum dengan Perkeso kerana pihak kami akan berusaha membantu sebaik mungkin mengikut kelayakan pencarum tersebut,” ujarnya.
Arwah Zulzila menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya pada malam 29 April lalu akibat penyakit batuk kering yang dialaminya.
Sementara itu, Mohd Izuddin, berkata keluarganya mengucapkan terima kasih kepada Perkeso yang begitu prihatin menguruskan semua faedah caruman arwah isterinya.
“Pihak Perkeso telah menghubungi saya dan hadir membawa semua borang dan dokumen untuk ditanda tangan.
“Memang saya tidak mampu menguruskan semua perkara tersebut akibat pergerakan yang terbatas dan kesihatan yang tidak mengizinkan.
“Terima kasih banyak kepada kakitangan Perkeso Rawang yang memudahkan semua urusan berkaitan tuntutan tersebut,” katanya.
-NAZ