
PUTRAJAYA, 10 Mei (Malaysiaaktif) – Seramai tujuh peniaga warga asing di Kelantan telah dikenakan kompaun kerana menaikkan harga beberapa barangan runcit secara melampau ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid.
Beliau berkata mereka dikompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang kerana atas kesalahan tidak meletakkan tanda harga iaitu masing-masing tiga kes di Kota Bharu, dan Tanah Merah dan satu kes di Gua Musang.
“Ini pentingnya menjadi pengguna bijak dengan memaklumkan tindakan peniaga yang menaikkan harga dengan sesenang hati mereka dan kementerian akan menyiasat semua laporan itu sebelum mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Jeti Pendaratan Ikan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di Tok Bali, hari ini.
Rosol berkata demikian mengulas aduan orang ramai terutama di Kelantan yang mendakwa para peniaga warga asing kebanyakannya dari Pakistan yang banyak membuka kedai runcit telah menaikkan harga barangan terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada fasa pertama dan kedua sebelum ini.
Beliau meminta pengguna yang mahu membuat laporan kepada pihaknya mesti memberikan laporan lengkap bagi memudahkan pihaknya membuat siasatan.
“Ini ada laporan sama ada melalui telefon atau e-mel tidak memberikan butiran yang diperlukan seperti kedai apa dan di mana berlaku serta barangan apakah yang dikatakan naik (harga) itu,” katanya.
Sementara itu mengulas lawatan beliau di kompleks itu, Rosol memberi jaminan bekalan ikan dan hasil laut lain adalah mencukupi sepanjang Ramadan dan Aidilfitri ini.
Katanya bukan sahaja hasil laut, malah barangan runcit yang lain juga adalah mencukupi selepas beliau membuat lawatan ke beberapa negeri sebelum ini.
“Janganlah buat pembelian panik dan kalau dulu di awal PKP mungkin ada sedikit beberapa masalah tetapi sekarang sudah tidak ada lagi,” katanya.
Beliau juga berkata sehubungan itu kementeriannya akan mengeluarkan senarai harga siling barangan keperluan pengguna untuk sepanjang sambutan Aidilfitri ini tidak lama lagi sebagai panduan kepada pengguna.
“Pengguna kena bijak berbelanja ketika PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) ini dan juga peniaga diingatkan jangan tamak untuk naikkan harga atau sorok barangan,” katanya.
— BERNAMA