
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/YIDE
SHAH ALAM, 10 Mei (Malaysiaaktif) – Sejumlah RM742,000 sumbangan Hari Raya Aidilfitri tahun ini telah dikreditkan ke dalam akaun 7,420 orang anak yatim atau penjaga yang berdaftar dengan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).
Pengurus Besar YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah, berkata proses pembayaran sumbangan RM100 setiap orang telah selesai dikreditkan ke akaun masing-masing, lebih awal daripada sasaran iaitu pada 8 Mei.
“Sumbangan ini adalah hasil sumbangan orang ramai dan syarikat korporat serta anak syarikat kerajaan negeri Selangor.
“Pegawai YIDE juga turun padang untuk menyerahkan sendiri sumbangan tersebut sekiranya terdapat kes-kes terpencil seperti penjaga atau anak-anak yatim tiada akaun bank,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, agihan tahun ini melibatkan sembilan daerah di Selangor iaitu Klang seramai 1,288 orang, Petaling (1,267), Sabak Bernam (400), Kuala Selangor (763), Hulu Langat (1,179), Sepang (330), Gombak (1,121), Hulu Selangor (543) dan Kuala Langat (529).
“YIDE menyeru kepada orang ramai dan syarikat-syarikat korporat terus menyumbang melalui platform pembayaran atas talian Billplz: https://yide.com.my/donations/infaq-dana-anak-yatim/ dan Jom Pay.
“Sumbangan juga boleh terus ke akaun korporat YIDE, Bank Islam 1223 4010 0073 30 dan menghubungi talian 017-756 9476 atau 017-756 9478 untuk mendapatkan resit pelepasan cukai.
“Setiap sumbangan akan dikecualikan cukai pendapatan dan potongan di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967, Nombor Rujukan LHDN 01/35/42/51/179-6.7622, bertarikh 15 November 2019 melalui resit rasmi YIDE,” ujarnya.
Katanya, YIDE komited meneruskan tradisi tahunan menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim walaupun ketika ini negara sedang dilanda pandemik COVID-19.