Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

109,617 Pelajar Ditawar ke IPTA Bagi Sesi Akademik 2020/2021

By 4 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 4 Jun (Malaysiaaktif) – Seramai 109,617 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 ditawarkan ke Universiti Awam, Institut  Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) bagi sesi akademik 2020/2021.

Tawaran berkenaan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Sijil, Asasi, Matrikulasi, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dan Ijazah Sarjana Muda Senibina Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan semalam memaklumkan surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) berkaitan kepada calon yang berjaya mulai 4 Jun dan calon perlu membuat pengesahan setuju terima tawaran selewat-lewatnya 8 Jun.

“Pengesahan setuju terima tawaran dan surat tawaran boleh dicetak melalui laman web IPTA. Tarikh pendaftaran pelajar baharu adalah mulai 5 Jun 2020 hingga 4 Jan 2021 mengikut IPTA masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Bagi calon yang gagal atau tidak menerima sebarang tawaran, mereka boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOline di http://upu.moe.gov.my yang akan dibuka dalam tempoh lima hari bekerja mulai 12 tengah hari 3 Jun hingga 5 petang 10 Jun.

Kementerian itu memaklumkan bahawa tawaran tempat bagi sesi akademik 2020/2021 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran tidak dibenarkan, manakala dasar pemilihan rayuan pelajar tertakluk kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan.

Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA Jabatan Pendidikan Tinggi (BKPA JPT) juga akan membuka kemudahan talian (hotline) mulai hari ini hingga 10 Jun dari 8.30 pagi hingga 4 petang bagi memudahkan pemohon membuat semakan serta mendapatkan khidmat runding cara.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda