Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Elemen Rukun Negara dalam Sambutan Hari Kebangsaan 2020

By 18 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 18 Jun (Malaysiaaktif) – Elemen Rukun Negara akan dimasukkan ke dalam acara serta aktiviti sambutan Hari Kebangsaan 2020 sempena Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata meskipun bentuk sambutan Hari Kebangsaan pasca-COVID-19 belum diputuskan, elemen Rukun Negara akan diterapkan melalui peranan yang dimainkan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), terutama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Secara ringkasnya, kita akan ada setem hari pertama untuk Rukun Negara, ada webinar kerana tidak boleh buat seminar, e-buku┬áberkaitan Rukun Negara serta program di lapangan melalui Jabatan Penerangan,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Kad Laporan 100 Hari beliau┬ádi sini hari ini.

Saifuddin berkata penerapan Rukun Negara secara formal dan tidak formal menggunakan pelbagai pendekatan dan medium agar benar-benar dijiwai rakyat merupakan antara teras pelan enam bulan akan datang KKMM.

Untuk jangka panjang pula, beliau berkata KKMM mencadangkan supaya program pendidikan Rukun Negara diserapkan di sekolah, universiti dan organisasi lain.

Saifuddin berkata meskipun Rukun Negara sudah diterapkan dalam beberapa mata pelajaran seperti Sejarah dan Pengajian Am namun ia akan ditambah baik supaya lebih dijiwai rakyat.

“Ada juga sekolah yang mempunyai Kelab Rukun Negara┬átetapi ada juga sekolah yang tiada kelab itu namun mempunyai kelab yang mengadakan program seperti Rukun Negara. Jadi perkara itu akan dilihat secara terperinci,” katanya.

Beliau berkata program jangka panjang bagi pendidikan Rukun Negara bagaimanapun akan diletak di bawah Kementerian Perpaduan.

“Saya telah berbincang dengan Menteri Perpaduan (Datuk Halimah Mohamed Sadique) dan beliau sudah mempunyai pelan mengenai apa yang akan dilakukan,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda