Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Program Skim Rondaan Sukarela Akan Diperkasa

By 18 Jun 2020Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 18 Jun (Malaysiaaktif) – Sebanyak 5,302 Skim Rondaan Sukarela (SRS) di seluruh negara akan diperkasa termasuk yang tidak aktif, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Sadique.

Beliau berkata buat masa ini sebahagian besar daripada SRS tidak aktif atas faktor-faktor yang belum diketahui.

“Sekarang tugas kementerian adalah untuk memperkasa SRS yang tidak aktif ini,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan kit peralatan rondaan SRS di sini hari ini.

Kit peralatan rondaan SRS itu diserahkan kepada pengarah Jabatan Perpaduan negeri-negeri untuk diedarkan kepada 1,079 SRS yang dibenarkan melakukan rondaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Kit itu mengandungi peralatan seperti cecair pensanitasi tangan, pelitup separuh muka, wisel, rompi keselamatan, topi SRS, cota, termometer dan lampu picit.

Halimah berkata 1,079 SRS terpilih akan melakukan rondaan kawasan bermula Sabtu ini  selaras dengan keputusan Mesyuarat Khas Menteri-menteri pada 6 Jun lepas yang meluluskan Garis Panduan Pelaksanaan Tugas Rondaan di Zon Hijau.

Selain perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan, setiap peronda juga diwajibkan menggunakan aplikasi MySejahtera untuk membolehkan pelaksanaan penilaian kesihatan kendiri, katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda