Laporan/foto: Shuhaimi Ahmad (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 4 Jun (Malaysiaaktif) – Pasar Segar Terkawal (PST) kelolaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Tapak Pasar Tani Hiliran dekat sini mula beroperasi selepas ditutup kerana arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih tiga bulan lalu.
Bagaimanapun, pembukaan semula PST yang sebelum ini dikenali sebagai Pasar Tani perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dikuatkuasakan sekarang.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Shahidan Embok, berkata pihaknya telah berbincang dengan FAMA untuk memulakan operasi PST dan keputusan bersama telah dicapai bagi memastikan operasi PST itu tidak melanggar SOP yang ditetapkan.
“Hanya 24 peniaga daripada 110 peniaga dibenarkan menjalankan perniagaan mereka pada setiap Khamis dan Sabtu dan keutamaan diberikan kepada peniaga produk makanan segar seperti ikan, sayuran, ayam, daging dan buah buahan.
“Operasi PST bermula pukul 6 pagi hingga pukul 12 tengah hari dan sistem penggiliran diperkenalkan bagi memastikan semua peniaga PST dapat berniaga,” katanya ketika melawat PST di Hiliran dekat sini hari ini.
Menurut Shahidan, peniaga dibenarkan berniaga setiap dua minggu sekali dan kumpulan yang berniaga pada hari ini dan Sabtu depan perlu menunggu giliran untuk dua minggu lagi bertujuan untuk memastikan semua peniaga dapat berniaga dan pada masa yang sama, SOP yang ditetapkan dapat dipatuhi.
“Pihak kami telah menempatkan anggota polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan anggota penguatkuasa MBKT di PST itu bagi memastikan peniaga dan orang ramai sentiasa mematuhi arahan.
“Hanya 20 pengunjung dibenarkan memasuki kawasan PST pada satu masa dan mereka perlu mengambil suhu badan dan menulis nama serta nombor telefon pada buku yang disediakan,” katanya.
Seorang peniaga buah buahan yang tinggal di Kampung Tebakang di sini, Salleh Abdul Rahman, 71, bersyukur kerana dapat berniaga semula setelah hampir tiga bulan berada di rumah.
“Sejak tiga bulan lalu, saya hanya duduk di rumah serta tiada pendapatan tetapi bersyukur kerana menerima Bantuan Prihatin Nasional selain sumbangan makanan daripada kerajaan,” katanya.
Peniaga ayam yang juga ibu tunggal, Rokiah Baharu, 52, dari Kampung Kubang Jela dekat sini turut bersyukur kerana diberi peluang untuk berniaga semula walaupun terpaksa bergilir dengan peniaga lain.
Katanya, PKP yang dikuatkuasakan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada beliau sekeluarga dan berharap ianya akan berakhir tidak lama lagi demi mencari rezeki untuk anak-anak.
-ii-