
PUTRAJAYA, 8 Jun (Malaysiaaktif) – Seorang peniaga dikompaun RM20,000 selepas didapati menjual pelitup separuh muka pada harga RM1.80 sekeping, melebihi harga kawalan yang ditetapkan oleh kerajaan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Langkawi, Abdul Rafar Wahid berkata kesalahan itu dikesan menerusi Pemeriksaan Khas Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kelmarin.
“Peniaga tersebut didapati menawarkan untuk menjual sejumlah 2,859 keping pelitup separuh muka tiga lapis melebihi harga kawalan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
“Tindakan telah diambil di bawah Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dengan menyita keseluruhan 2,859 keping pelitup separuh muka tiga lapis tersebut dan peniaga diberikan masa 14 hari untuk membayar kompaun minimum sebanyak RM20,000,” katanya dalam kenyataan semalam.
Abdul Rafar turut mengingatkan peniaga supaya mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan kementerian seperti meletakkan label atau tanda harga pada barangan yang dipamerkan untuk jualan dan mempamerkan senarai harga dan mematuhi harga barang kawalan berjadual.
“Peniaga juga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga jualan bagi tujuan mengaut keuntungan yang lebih terutamanya semasa tempoh PKPB ini. Tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau peniaga yang didapati gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.
— BERNAMA