Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Masjid, Surau di Selangor Akan Dibuka Berperingkat Mulai Hari Ini

By 12 Jun 2020Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SHAH ALAM, 12 Jun (Malaysiaaktif) – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan agar masjid dan surau di negeri ini dibuka secara berperingkat.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata baginda bertitah bilangan jemaah untuk menunaikan solat Jumaat dan fardu berjemaah di 39 buah masjid di Selangor ditambah kepada 40 orang berkuat kuasa hari ini.

“Kad akan diedarkan kepada 40 orang untuk hadir pada Solat Jumaat tersebut.

“Bagi yang tidak dapat menunaikan Solat Jumaat hendaklah digantikan dengan Solat Zohor dan dilakukan di tempat masing-masing,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Titah baginda, solat berjemaah adalah dibenarkan bagi Solat Fardhu Subuh, Maghrib dan Isyak sahaja di 39 buah masjid-masjid yang sama, dengan jumlah kehadiran 40 orang tidak termasuk Pegawai dan Ahli Jawatankuasa masjid.

“Semua surau termasuk Surau Kebenaran Solat Jumaat masih tidak dibenarkan untuk dibuka melainkan tiga orang Pegawai Surau seperti yang ditetapkan terdahulu.

“Penggunaan masjid pada Solat Jumaat dan Solat Fardhu berjemaah hendaklah mematuhi sepenuhnya garis panduan dan prosedur yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” titah baginda.

Melalui kenyataan tersebut, DYMM Sultan Selangor akan mengikuti perkembangan dan meneliti keberkesanan garis panduan yang ditetapkan dari semasa ke semasa sebelum membuat sebarang pertimbangan selanjutnya bagi menentukan pembukaan lebih banyak masjid dan surau di Selangor.

-NAZ

Tinggalkan komen anda