Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

COVID-19: 11 Hari Berturut-turut Tiada Kematian Direkodkan

By 26 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 26 Jun (Malaysiaaktif) – Kes jangkitan COVID-19 di negara ini terus menunjukkan perkembangan baik, dengan tiada kematian direkodkan selama 11 hari berturut-turut sejak 15 Jun.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kematian pandemik itu kekal sebanyak 121 kes atau bersamaan 1.41 peratus, daripada jumlah keseluruhan kes.

“Bagi kes jangkitan baharu COVID-19 dalam negara pula masih kekal satu digit, iaitu empat kes dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 8,600 kes.

“Daripada kes baharu dilaporkan, tiga kes import mendapat jangkitan di luar negara, semuanya melibatkan warga Malaysia. Satu kes penularan di dalam negara juga merupakan warga tempatan, iaitu kes saringan ‘Severe Acute Respiratory Infection’ (SARI) di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor,” katanya dalam kenyataan semalam.

Jelasnya tiada penularan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara dikesan dan sehingga kini, sebanyak dua kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 208 kes dan pesakit telah diasingkan serta diberi rawatan.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan perintah penutupan kawasan pendakian di Bukit Broga, Semenyih, berikutan isu kesesakan aktiviti rekreasi di bawah Seksyen 18, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), berkuat kuasa mulai Sabtu ini.

Dr Noor Hisham berkata, prosedur operasi standard (SOP) dan normal baharu yang sering ditekankan kerajaan, bertindak sebagai sistem pertahanan negara kita terhadap pandemik tersebut.

“KKM menyeru orang ramai supaya tidak alpa dan mengambil mudah dengan pematuhan kepada SOP dan normal baharu.

“Diharapkan segala usaha kita selama ini untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19  diteruskan, oleh semua peringkat dan lapisan masyarakat,” katanya.

–BERNAMA

Tinggalkan komen anda