Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Pembukaan Semula Tadika dan Taska Undang Pelbagai Reaksi

By 24 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Hamidah Md Drus/Ahmad Fitri Jasni (Kuala Pilah)

KUALA PILAH, 24 Jun (Malaysiaaktif) – Kerajaan kini membenarkan prasekolah, Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) kerajaan dan swasta dibuka sepenuhnya bermula 1 Julai ini, dan Garis Panduan Pembukaan Semula Prasekolah telah disediakan sebagai rujukan dan panduan kepada semua pentadbir.

Pelbagai reaksi diterima daripada ibu-bapa yang akan menghantar anak mereka ke tadika dengan ada yang masih risau akan keselamatan dan ada juga yang optimis.

Menurut Sazarina Abu Zarin, beliau akan menghantar anaknya ke tadika pada 1 Julai depan. Kerisauan mengenai anak yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedikit berkurangan apabila anaknya sudah mempraktikkan amalan membasuh tangan dan menjaga kebersihan sepajang tempoh Perintah kawalan Pergerakan (PKP).

“Anak saya berumur lima tahun tetapi telah memahami serba sedikit mengenai virus yang melanda sekarang, ditambah pula dengan siaran iklan dan hebahan bergerak daripada Jabatan Penerangan berkenaan bahaya COVID-19, ia lebih memudahkan.

“Dalam tempoh PKP guru sekolah ada membuat kelas secara maya, namun agak sukar untuk diikuti oleh anak dengan pelbagai alas an, dengan pembukaan sekolah tadika ini diharap  pembelajaran secara bersemuka dapat diteruskan dan anak-anak tidak keciciran,” ujarnya ketika ditemui.

Keadaan di tadika yang telah ditanda dengan penjarakan sosial.

Keadaan di tadika yang telah ditanda dengan penjarakan sosial.

Antara SOP yang digariskan untuk pelajar tadika ialah mengambil suhu sewaktu pelajar datang dan pulang, cara yang betul bermain dalam tadika, penjarakan meja belajar, waktu makan dan balik yang perlu dipatuhi, memastikan pembersihan pada permukaan yang sentiasa disentuh dan pada ketinggian yang boleh dicapai dengan tangan seperti tombol pintu, suis lampu, kepala paip, pengepam tandas dan pelapik duduk tandas.

Menurut Farah Adila Abidin pula, beliau tidak akan menghantar anaknya ke Tadika pada 1 Julai depan, ini kerana beliau masih lagi mendapat kebenaran daripada majikan untuk bekerja dari rumah.

“Saya rasa tiada keperluan untuk menghantar anak buat masa ini kerana anak masih bawah jagaan saya dan jika keadaan benar-benar pulih saya akan kembali menghantar anak ke tadika. Pembelajaran anak selalunya saya akan pantau dan guru juga ada membuat kelas secara maya,” ujarnya.

Menurut guru tadika Norhayati Abdullah, beliau menyatakan kerisauan terhadap ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah walaupun demam.

“Seharusnya ibu bapa perlu faham tidak dibenarkan menghantar anak yang sakit atau demam ke tadika. Ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab untuk memastikan anak-anak yang lain selamat dan boleh mengikuti sesi pembelajaran seperti biasa.

“Kanak-kanak memang sifatnya suka bermain bersama kawan-kawan dan berkumpul. Adalah sukar untuk memberi kefahaman kepada pelajar, tetapi jika ibu bapa telah dahulu mendidik dan mempraktikkan di rumah, maka tugas guru akan jadi lebih mudah,” ujarnya yang telahpun bersiap sedia menerima pelajar minggu hadapan.

-SH

Tinggalkan komen anda