Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Perkeso Harap Lebih Ramai Pekerja Ekonomi Gig Dapat Perlindungan Keselamatan Sosial

By 17 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 17 Jun (Malaysiaaktif) – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berharap lebih ramai pekerja ekonomi gig mendapatkan perlindungan keselamatan sosial menerusi Program Dana Padanan Caruman Ekonomi Gig Platform (PenjanaGig) yang telah dibuka bermula semalam hingga 31 Dis 2021.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dalam kenyataan hari ini berkata ini kerana golongan itu terdedah kepada pelbagai risiko berkaitan pekerjaan sendiri.

Beliau berkata berdasarkan anggaran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), seramai 28,425 pekerja ekonomi gig telah berdaftar dengan Perkeso sejak 1 Jan lepas dan jumlah itu merupakan tujuh peratus daripada kira-kira 400,000 individu yang terlibat dalam ekonomi gig di negara ini.

Menerusi PenjanaGig, Mohammed Azman berkata pekerja gig mendapat perlindungan keselamatan sosial melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pelan Dua dengan caruman RM232.80 secara percuma selama setahun.

“Kerajaan membiayai 70 peratus bayaran caruman manakala baki 30 peratus oleh platform penyedia perkhidmatan.

“Ini bermakna kerajaan menyumbang sebanyak RM163 daripada caruman setahun Pelan Dua SKSPS di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, sementara platform penyedia perkhidmatan menyumbang RM69.80,” jelasnya.

Katanya, antara syarat kelayakan untuk bantuan PenjanaGig adalah bekerja secara aktif di bawah platform penyedia ekonomi gig yang berdaftar dengan MDEC.

Platform penyedia perkhidmatan gig boleh mendaftar PenjanaGig melalui gig.perkeso.gov.my dan layari www.perkeso.gov.my untuk sebarang maklumat lanjut atau hubungi 1-300-22-8000 atau e-mel kepada [email protected].

Pekerja ekonomi gig merupakan golongan yang menjalankan sesuatu tugas atau kerja melalui platform penyedia perkhidmatan dalam talian atau aplikasi digital untuk mendapat upah seperti GrabCar, FoodPanda, Lalamove, BungkusIt dan sebagainya.

Antara sektor yang mewakili pekerja ekonomi gig adalah sektor pengangkutan penumpang e-hailing, pengangkutan makanan dan barangan serta perniagaan dalam talian.

Antara faedah yang disediakan SKSPS Perkeso adalah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Orang Tanggungan, Faedah Pengurusan Mayat, Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional dan Faedah Pendidikan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda