
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SHAH ALAM, 1 Jun (Malaysiaaktif) – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan untuk melanjutkan larangan solat Jumaat dan lima waktu di masjid dan surau di seluruh negeri sehingga 30 Jun depan.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata DYMM Sultan masih bimbang risiko jangkitan jika kawalan dilonggarkan mengakibatkan nyawa rakyat di Negeri Selangor ini akan turut terancam.
“Justeru, Baginda memutuskan agar tempoh larangan bagi mengerjakan Solat Jumaat dan solat lima waktu di masjid-masjid dan surau-surau dilanjutkan sehingga 30 Jun kecuali 39 buah masjid yang telah dibenarkan sebelum ini.
“Bagaimana pun, azan waktu solat akan tetap berkumandang dan solat fardhu lima waktu dilakukan seramai tiga orang yang terdiri daripada imam, bilal dan siak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, semakan akan dilakukan selepas minggu pertama bulan Jun sekiranya penularan wabak COVID-19 didapati menurun secara konsisten.
“Pertimbangan akan dibuat bagi membolehkan jumlah jemaah Solat Jumaat ditambah dan masjid-masjid dibuka lebih awal bagi mendirikan Solat Jumaat secara berperingkat khususnya di kawasan-kawasan yang dikategorikan sebagai zon hijau.
“DYMM Sultan Selangor menyeru agar rakyat terus mengamalkan penjarakan sosial, memakai penutup muka dan mematuhi setiap arahan dan garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya.
-NAZ