
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
HULU KELANG, 1 Jun (Malaysiaaktif) – Kajian menyeluruh struktur runtuhan tanah di Jalan Ukay 4 seperti disyorkan penduduk perlu dilakukan bagi mengelak implikasi ke atas struktur runah berhampiran lokasi kejadian.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Ismail Abd Mutalib, berkata tumpuan kajian masih di kawasan tujuh unit rumah yang terjejas akibat rekahan susulan kejadian tersebut.
“Kajian secara menyeluruh perlu dilakukan seperti saranan penduduk termasuk rumah-rumah yang belum retak supaya tidak melarat ke tempat-tempat lain.
“Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin memberi jaminan akan membantu seperti yang diumumkan sebanyak RM2 juta untuk membina tembok penghadang mengukuhkan tebing yang runtuh di belakang rumah penduduk,” katanya.
Ismail turut menyeru supaya penduduk memberikan kerjasama kepada semua pihak yang menjalankan kajian tersebut dan mencari punca serta penyelesaiannya.
“Saya minta penduduk berikan kerjasama kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan semua agensi teknikal yang terlibat dalam kajian ini.
“Memandangkan kawasan ini tanah tinggi (berbukit), susah kita nak tentukan kerana banyak faktor yang menyebabkan kejadian ini berlaku,” ujar beliau ketika melawat lokasi kejadian bersama Yang Dipertua MPAJ, Datuk Abdul Hamid Hussain hari ini.
Sementara itu, Datuk Abdul Hamid berkata pihaknya bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Selangor akan mengemukakan kertas cadangan berkaitan sewa rumah selama enam bulan penduduk terjejas.
“Kertas cadangan itu akan dibentangkan pada Khamis ini dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) untuk pertimbangan Kerajaan Negeri.

Ismail (tiga dari kanan) ketika melawat lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan Kelab Ukay 4, Taman Kelab Ukay hari ini.
“Siapa yang layak atau kadar sewa yang diluluskan akan diputuskan dalam mesyuarat tersebut,” katanya.
Katanya, pihak MPAJ akan memberi tumpuan kajian dan analisa terhadap tujuh buah rumah yang terjejas akibat kejadian runtuhan tebing tersebut kerana terdapat rekahan dan tanah yang jatuh ke bawah.
“Namun, hari ini pasukan MPAJ akan membuat pemantauan ke atas rumah-rumah dalam kawasan sebaris dengan tujuh rumah yang retak untuk menganalisa tahap keselamatannya.
“Rumah (struktur) asal masih dalam keadaan stabil, tidak terjejas tetapi yang berlaku (keretakan) adalah rumah-rumah yang telah dibuat ubah suai tambahan bangunan.
“Kita sedang menyemak sama ada tambahan bangunan tersebut mendapat kelulusan dan mengikut piawaian atau tidak, sekiranya mereka perlu kosongkan (kediaman) atau tidak kita akan maklumkan nanti,” katanya.
Pada 30 Mei lalu, seramai 40 penghuni yang mendiami tujuh unit rumah teres dua di Jalan Kelab Ukay 4, Taman Kelab Ukay diarah mengosongkan kediaman masing-masing susulan terdapat keretakan di bahagian belakang rumah mereka.
Kejadian sekitar jam 2 pagi itu dipercayai berpunca daripada pergerakan tanah kerana hujan lebat berterusan pada hari tersebut.
-NAZ