
Laporan/foto: Noorshazana Shaadan/Norhaidah Md Esa (Port Dickson)/Farhan Abdullah (Putrajaya)
PORT DICKSON, 14 Jul (Malaysiaaktif) – Dua pusat pemindahan banjir telah dibuka apabila banjir kilat melanda beberapa kawasan di sini, semalam.
Sebanyak 27 buah keluarga telah ditempatkan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Tanah Merah dan 21 buah keluarga lagi di Sekolah Kebangsaan (SK) Jimah Lama.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Port Dickson, Kapten (PA) Muhammad Azri Abu Hassan, berkata operasi pemindahan mangsa banjir di kawasan terlibat telah dilaksanakan sejurus menerima laporan mengenai kejadian ini.
“Selain Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut terlibat dalam operasi pemindahan mangsa banjir ini,” ujarnya
Tambah Azri, pihaknya akan sentiasa bersiap siaga serta akan terus memantau keadaan dan jika memerlukan operasi pemindahan, maka mereka akan menggerakkan anggota dan peralatan bagi memastikan kejadian ini dapat dikawal sebaiknya
“Hujan lebat berterusan sejak pukul tiga pagi telah menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Chuah dan Lukut dinaiki air, manakala air pasang turut dikatakan menjadi punca kejadian banjir kilat ini,” katanya.
-AK