Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

18 Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis PBT Daerah Sik

By 2 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Fasharina Kholil (Sik)/Majlis Daerah Sik

SIK, 2 Jul (Malaysiaaktif)  – Seramai 18 orang pemimpin tempatan mengangkat sumpah pelantikan sebagai Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Majlis Daerah Sik yang baharu bagi penggal 2020 hingga 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri Kedah, Datuk Dr. Mohd Hayati Othman berkata, setiap Ahli Majlis adalah penghubung antara kerajaan dan rakyat terutamanya dalam hal yang berkaitan dengan perkhidmatan dan pengurusan yang diberikan oleh PBT.

“Kerajaan negeri hari ini lebih prihatin dalam membantu PBT dalam melaksanakan urus tadbir yang terbaik kepada masyarakat dengan memasukkan kembali Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan Negeri sebagai Ex-Officio memandangkan kedua-dua agensi ini amat penting dalam membantu PBT menangani dan mengekang penularan pandemik COVID-19 yang melanda negara dan seluruh dunia ketika ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Angkat Sumpah Perlantikan Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Daerah Sik, di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd Hayati, ahli majlis perlu berganding bahu dan bekerja rapat dengan agensi-agensi kerajaan yang lain termasuklah pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin-pemimpin masyarakat, jawatankuasa penduduk bagi mendapatkan pandangan dan kerjasama dalam membentuk pentadbiran yang lebih bertanggungjawab dan mesra rakyat.

“Saya berharap agar barisan kepimpinan Ahli-Ahli Majlis ini berani melakukan transformasi untuk kemajuan Daerah Sik dan dapat melaksanakan amanah kerajaan dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti demi masyarakat di sini.

“Setiap daripada kita perlulah komited dan memberikan cerminan yang baik kepada rakyat. Jadikan integriti dengan menggabungkan nilai peribadi yang tinggi sebagai teras utama dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya lagi.

-SH

Tinggalkan komen anda