
Laporan/foto: Jamilah Sulaiman Nasution (Seremban)/Mohd Khairulnizam Mohd. Yunus (Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 17 Jul (Malaysiaaktif) – Segala maklumat peribadi hasil bancian yang dilaksanakan pegawai Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) adalah dijamin kerahsiaannya.
Menurut Pengarah DOSM Negeri Sembilan Hartini Yaacob, kerahsiaan tersebut dijamin sepertimana termaktub bawah Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989).
“DOSM mempunyai mekanisme tertentu bagi melindungi data individu dan segala maklumat yang dipungut sama ada menerusi borang soal selidik atau sebagainya adalah sulit dan tidak akan didedahkan kepada mana-mana pihak.
“Mana-mana individu yang mendedahkan data yang dipungut oleh DOSM boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung melalui Facebook dalam slot [email protected] yang membincangkan tajuk “Banci 2020 & COVID-19″ di Pusat Maklumat Rakyat Seremban, di sini kelmarin.
Isu keselamatan maklumat penduduk timbul berikutan terdapat banyak pihak memanipulasi maklumat peribadi pengguna dan kesannya masyarakat dilihat tidak yakin untuk mendedahkan maklumat peribadi.
“Cabaran bancian fasa pertama melalui kaedah pengumpulan data secara dalam talian (e-Census) adalah dari segi penerimaan rakyat terhadap pemodenisasi. Apabila menggunakan sistem seperti ini ramai yang tidak biasa dan terdapat kekangan dari segi liputan internet, jenis telefon bimbit dan sebagainya.
“Manakala cabaran bancian fasa kedua iaitu secara bersemuka pula ialah ketidakpercayaan masyarakat kepada pembanci yang hadir ke rumah kerana khuatir pembanci tersebut ialah penjenayah,” katanya.
Menurut Hartini, bagi mengelakkan ditipu, orang ramai yang curiga dengan kehadiran pembanci boleh mengesahkannya menerusi etika pemakaian serta mempunyai kad pengenalan yang disahkan jabatan.
“Responden juga boleh menghubungi nombor telefon pegawai yang tertera pada surat iringan atau talian Banci 2020, 1-800-88-7720 untuk tujuan pengesahan,” katanya lagi.

Hartini (duduk, kanan) bersama-sama Shahnon (duduk, kiri) dan para petugas Jabatan Penerangan setelah selesai program [email protected], di sini.
Dalam pada itu, menurut Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan Shahnon Mohamad, pihaknya sedang bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan bagi memastikan banci pada tahun ini berjalan lancar.
“Dalam menguar-uarkan banci pada kali ini, kami membuat hebahan dan edaran risalah berkaitan Banci Penduduk 2020 melalui Program Info on Wheels.
“Kami juga akan bersama-sama dengan pembanci di lapangan dan membuat hebahan di lokasi yang ditetapkan, dan diharapkan dengan cara ini, orang ramai akan lebih yakin untuk memberi maklumat dan tidak curiga dengan kehadiran pembanci,” katanya.
Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 adalah banci yang keenam dilaksanakan semenjak penubuhan Malaysia pada tahun 1963.
-SH