Skip to main content
HomePutrajaya

Empat Pesuruhjaya EAIC Dilantik, Mohd Sidek Sebagai Pengerusi

By 25 Julai 2020Tiada komen1 minit bacaan

Foto: JPM

PUTRAJAYA, 24 Jul (Malaysiaaktif) — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan pelantikan empat pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebagai pengerusinya.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata pelantikan itu adalah untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 Julai 2020.

Selain Mohd Sidek, pesuruhjaya EAIC lain ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zainun Ali,  Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O’hara dan Penasihat Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod.

Pejabat Perdana Menteri berkata Seri Paduka juga telah memperkenankan pelantikan Zainun sebagai timbalan pengerusi EAIC.

“Pelantikan ini akan memperkukuhkan pelaksanaan fungsi dan keberkesanan EAIC ke arah memastikan mutu penguatkuasaan yang berintegriti dan efektif dalam kalangan pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan,” kata Pejabat Perdana Menteri.

Pejabat Perdana Menteri berkata kerajaan juga merakamkan penghargaan kepada barisan pesuruhjaya EAIC terdahulu iaitu Datuk A. Aziz A. Rahim, Datuk Sabariah Hassan, Prof Madya Dr Abang Ekhsan Abang Othman, Lee Sow Siong, Leong May Chan dan James Deva Nayagam Gnanaratnam.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda