
Laporan/foto: Farah Diana Azman (Melaka)/ FB Jabatan Mufti Negeri Melaka
MELAKA, 6 Julai (Malaysiaaktif) – Jabatan Mufti Negeri Melaka mewujudkan Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Korban Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Covid-19.
Garis panduan ini bertujuan melatih dan membiasakan masyarakat dengan kawalan kendiri dan norma baharu kehidupan dalam melaksanakan ibadah korban.
Berdasarkan garis panduan tersebut, kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau Zon Merah tidak dibenarkan sama sekali menjalankan ibadah korban.
Lokasi ibadah korban yang dibenarkan adalah Rumah Sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan DVS, serta masjid, surau, kawasan awam dan persendirian yang diluluskan oleh DVS.
Dari segi kehadiran petugas, prosedur operasi standard (SOP) menetapkan petugas terdiri dari warganegara yang sihat, tidak bergejala dan bukan penghidap penyakit kronik atau kanak-kanak di bawah umur 12 tahun. Person Under Investigation (PUI) dan Person Under Surveillance (PUS) adalah tidak dibenarkan hadir.
Manakala, proses lapah dan keratan pembahagian daging korban hendaklah dibuat di tempat lapang dan tidak menyebabkan kesesakan.
Selain itu, SOP telah menetapkan bagi setiap seekor lembu atau kerbau hanya dilakukan oleh sepuluh orang manakala setiap seekor kambing dilakukan oleh empat orang.
Seterusnya bagi pengagihan daging korban kepada peserta yang mengambil bahagian dan fakir miskin hendaklah melalui penghantaran secara langsung dari rumah ke rumah dan tiada pengambilan agihan di tempat sembelihan.
Maklumat lanjut, Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Korban Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang lengkap boleh didapati melalui laman web Jabatan Mufti Melaka di pautan http://www.muftimelaka.gov.my/jmm/images/SOP_KORBAN_PKPP.pdf.
-KN