Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Ibu Bapa Tidak Perlu Risau, MAIWP Jamin Tadika Patuhi SOP

By 7 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 7 Jul (Malaysiaaktif) – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memberi jaminan kesemua 79 tadika Islam kendaliannya di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengelak penularan COVID-19.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee berkata ibu bapa tidak perlu risau mengenai keselamatan anak mereka, dan turut memberi jaminan kesemua 389 guru juga akan mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Kesemua tadika MAIWP kembali beroperasi sejak semalam. Ibu bapa tidak perlu risau untuk hantar anak mereka ke sini (tadika Islam) sebab kita ikut SOP begitu ketat. SOP kita lakukan bermula dari awal murid sampai iaitu ketika nak masuk ke kawasan sekolah, mereka (murid) akan disukat suhu badan, kemudian dilatih sentiasa menggunakan pensanitasi tangan.

“Pemakaian pelitup separuh muka wajib untuk guru serta pelajar dan kita akan sediakan pelindung muka yang ditempah khas untuk setiap murid,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat pemantauan SOP di sebuah tadika Islam MAIWP di Cheras, hari ini.

Syed Hussien berkata bagi memastikan jarak sosial dapat diamalkan setiap masa, bilangan murid di dalam kelas dikurangkan separuh daripada jumlah asal dan murid perlu hadir ke tadika secara bergilir mengikut hari yang ditetapkan.

Ditanya mengenai yuran, Syed Hussien berkata MAIWP mengekalkan jumlah yuran seperti sebelum ini iaitu RM20 sebulan untuk murid golongan asnaf manakala RM50 sebulan bagi murid daripada keluarga B40.

“Ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), kita tidak mengenakan yuran kepada ibu bapa. Itu sebagai khidmat kita kepada mereka (ibu bapa) dan bermula semalam, selepas tadika kembali beroperasi, yuran adalah sama (seperti sebelum ini),” katanya.

Menurutnya, pengecualian yuran selama tiga bulan bermula April hingga Jun kepada kira-kira 6,000 murid itu melibatkan impak kewangan berjumlah hampir RM1 juta.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda