Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Jom Memukat Pantai Leban Chondong Hidupkan Nostalgia Lalu

By 22 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Muhammad Fakhri Md Nor/Mohd Suhaizad Abd Samad (Rompin)

ROMPIN, 22 Jul (Malaysiaaktif) – Lebih 30 orang penduduk kampung sekitar Kampung Leban Chondong memeriahkan program Jom Memukat di Pantai Leban Chondong kelmarin setelah lebih tiga bulan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan semenjak 18 Mac yang lalu.

Menurut pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Leban Chondong, Zulkarnain Daud, aktiviti memukat pantai ini merupakan salah satu aktiviti yang dijalankan oleh penduduk-penduduk kampung sejak dahulu lagi bagi mendapatkan hasil laut untuk menyara kehidupan mereka.

“Kini aktiviti memukat pantai ini telah bertukar konsep ke arah aktiviti riadah dan bermasyarakat berbanding mencari hasil laut. Saya berharap program seperti ini dapat dikomersialkan bagi menjadi produk pelancongan daerah Rompin dalam menyambut seruan kerajaan untuk menambah baik aktiviti pelancongan dalam negara selain menggalakkan perkembangan ekonomi domestik.

“Aktiviti ini memerlukan kesabaran dan kerjasama daripada semua peserta untuk menarik hasil ke pantai, dan kebiasaannya seramai 10 orang akan turun ke laut membuka jaring pukat dan mengepung ikan ke pantai, dimulakan di bahagian yang lebih dalam dan seterusnya di tarik ke arah pantai yang lebih cetek beramai-ramai secara teratur,” katanya ketika ditemui, di sini.

Menurut Zulkarnain, selain daripada aktiviti memukat, pelbagai aktiviti lain turut dilakukan seperti berkhemah, sukan pantai dan memancing.

“Antara tarikan lain di sini ialah keindahan permandangan matahari terbit dan bagi penggemar media sosial Instagram, pantai ini boleh dijadikan lokasi kunjungan bagi mereka untuk bergambar serta mengabdikan kenangan mereka semasa berkunjung ke kampung ini,” katanya.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Muadzam Shah Ir. Razali Kassim, pengerusi-pengerusi JPKK sekitar Mukim Rompin.

-SH

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda