Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

RMK12: Empat Mahkamah Baharu Bakal Dibina

By 22 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

AMPANG, 22 Jul (Malaysiaaktif) – Empat buah mahkamah baharu bakal dibina sekiranya mendapat kelulusan kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12 yang akan dibentangkan pada tahun hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata keperluan berkenaan kerana bangunan yang digunakan sekarang telah uzur dan juga keperluan membina mahkamah baharu disebabkan kepesatan penduduk.

“Mahkamah Majistret Sik, Kedah dan Bachok, Kelantan masih menggunakan bangunan lama dan tapak baharu telah dikenal pasti untuk menempatkan Mahkamah Seksyen dan Mahkamah Majistret untuk keperluan masa hadapan.

“Kita juga akan membina mahkamah baharu iaitu di Temerloh, Pahang yang mengandungi Mahkamah Tinggi, Seksyen dan Majistret kerana negeri tersebut agak luas dan perlu mahkamah baharu selain berpusat di Kuantan.

“Manakala kami juga sedang berusaha membina mahkamah di Pengerang, Johor dan diharapkan semuanya akan diluluskan pihak kerajaan memandangkan keperluan mendesak,” katanya semasa siding media selepas melawat projek pembinaan Mahkamah Baharu Ampang, di sini hari ini.

Takiyuddin (dua dari kiri) sedang bertanyakan perkembangan pembinaan bangunan Mahkamah Baharu Ampang dengan pihak kontraktor.

Takiyuddin (dua dari kiri) sedang bertanyakan perkembangan pembinaan bangunan Mahkamah Baharu Ampang dengan pihak kontraktor.

Mengulas lanjut, beliau berkata Mahkamah Baharu Ampang sepatutnya siap dibina pada bulan April tahun hadapan namun tiada perkembangan kemajuan projek berkenaan sehingga kini walaupun lanjutan masa telah diberikan.

“Kemajuan projek ini hanya 63 peratus sahaja walaupun lanjutan masa telah diberikan kepada kontraktor ini sebanyak tiga kali.

“Pihak kementerian menganggap bahawa projek pembinaan mahkamah ini telah terbengkalai kerana gagal memenuhi tempoh masa yang ditetapkan.

“Kita serahkan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor untuk mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan perjanjian antara kerajaan dan pihak kontraktor yang dilantik,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Roziah Abudin dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

-NAZ

Tinggalkan komen anda