Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Jumlah Kes Positif Kembali Meningkat Dengan 21 Kes Baharu

By 25 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 25 Jul (Malaysiaaktif) – Sebanyak 21 kes jangkitan baharu  COVID-19 dalam negara dilaporkan semalam melibatkan 16 kes penularan tempatan dan lima kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 sebanyak 8,861 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 161 kes.

“Daripada 21 kes baharu yang dilaporkan, lima kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan tiga warganegara dan dua bukan warganegara yang berkahwin dengan rakyat Malaysia atau dibenarkan masuk di atas urusan kerja,” menurut kenyataan media perkembangan COVID-19.

Katanya, lima kes import itu membabitkan individu yang pulang dari Singapura, Australia, Filipina, Pakistan dan Qatar.

Sementara itu, daripada 16 kes penularan dalam negara, 13 kes melibatkan warganegara dan tiga kes bukan warganegara.

Satu daripada tiga kes penularan tempatan dalam kalangan bukan warganegara direkodkan daripada Kluster Warga Emas Kluang, Johor dan dua kes lagi daripada Kluster Elsa di Pahang.

Kes penularan tempatan COVID-19 dalam kalangan warganegara pula melibatkan dua kes daripada Kluster PUI Ramnad di Kuala Lumpur dan masing-masing satu kes dari Kluster PUI Al Khobar di Selangor, Kluster Warga Emas Kluang di Johor dan Kluster Elsa di Pahang.

Penularan tempatan dalam kalangan warganegara juga termasuk lapan kes positif daripada Kluster Sentosa di Sarawak.

Dr Noor Hisham berkata tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan kekal 123 kes.

Beliau turut memaklumkan sebanyak tiga kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 8,577 kes atau 96.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, hanya lima kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Dua kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda