Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

‘Malaysia Prihatin’ Tema Hari Kebangsaan Tahun Ini

By 28 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 28 Jul (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tema Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini adalah ‘Malaysia Prihatin’ pada majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang bagi tahun 2020.

Menurut Muhyiddin, tema ini bertepatan dengan aspirasi yang didukung kerajaan bahawa seluruh rakyat terlibat dalam sambutan kali ini dan mempunyai misi yang sama dalam menangani pandemik COVID-19.

“Seluruh rakyat ‘Malaysia’, sama ada penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun orang perseorangan turut bersama-sama memerangi musuh pada kala ini iaitu wabak COVID-19, manakala ‘Prihatin’ menunjukkan inisiatif kerajaan yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan rakyat Malaysia.

“Semangat ‘Malaysia Prihatin’ ini dizahirkan bukan sahaja oleh mereka yang bertugas di barisan hadapan, malahan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat juga merupakan wira tidak didendang.

“Mereka tampil untuk memberikan bantuan dan sokongan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik dan ini merupakan petanda baik membuktikan rakyat Malaysia boleh bersatu sama ada di waktu susah apatah lagi dalam waktu senang,” katanya ketika merasmikan pelancaran tersebut, di sini hari ini.

Muhyiddin turut memaklumkan sepanjang Bulan Kebangsaan ini, pelbagai program bakal diadakan termasuklah Sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara yang telah dilancarkan 9 Julai lalu.

“Pelbagai program dirancang, antara lainnya adalah Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang pada hari ini, disusuli dengan Sambutan Hari Kebangsaan di Kuala Lumpur pada 31 Ogos dan Sambutan Hari Malaysia di Sibu, Sarawak pada 16 September.

“Bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme, saya meminta kementerian dan agensi-agensi kerajaan untuk mengalakkan penyertaan aktif semua lapisan masyarakat dalam aktiviti-aktiviti yang disediakan.

“Kita ingin lihat semangat patriotisme ini sentiasa mekar dalam hati kita, di mana setiap tahun semangat ini akan kita perkukuhkan lagi di sepanjang Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, dan mudah-mudahan dengan cara ini rasa cinta kita kepada negara tidak akan kunjung padam sampai bila-bila,” katanya.

Tinggalkan komen anda