Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Malaysia Kembali Catat Kes Penularan Tempatan

By 11 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 11 Jul (Malaysiaaktif) – Selepas dua hari kes sifar, Malaysia kembali mencatat kes penularan di dalam negara atau penularan tempatan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, daripada 13 kes baharu yang dilaporkan, lima adalah kes penularan di dalam negara dengan tiga kes dalam kalangan warganegara dan dua kes adalah bukan warganegara, yang seterusnya menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia sebanyak 8,696.

“Kes jangkitan dalam negara dalam kalangan warganegara melibatkan dua kes ‘Severe Acute Respiratory Infection’ (SARI) yang telah dimasukan ke Hospital Umum Sarawak, dan satu kes saringan sebelum masuk kerja di Kuala Lumpur.

“Bagi kes jangkitan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara pula, melibatkan dua kes saringan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, dengan kedua-dua kes ini disaring semula, sebelum proses penghantaran balik ke negara asal,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini semalam.

Beliau berkata, lapan kes lagi adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan enam warganegara dan dua bukan warganegara (pemastautin tetap).

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 64 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 12 kes pulih dan dibenarkan discaj semalam, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah 8,511 kes atau 97.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat dua kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kedua-duanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Manakala tiada kes kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di negara ini kekal 121 kes atau 1.39 peratus, daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, walaupun kes semakin berkurangan, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau dan ujian pengesanan COVID-19 dijalankan secara berterusan, untuk mengesan kes-kes baharu dalam kalangan komuniti dan antaranya adalah melalui sistem survelan klinikal, seperti pengesanan kes “severe acute respiratory infection” (SARI) di hospital.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda