Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Malaysia Mampu Capai Unjuran Bank Dunia – Azmin

By 11 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 11 Jul (Malaysiaaktif) – Malaysia mampu mencapai pertumbuhan ekonomi seperti yang diunjurkan Bank Dunia iaitu 6.3 hingga 7.5 peratus tahun hadapan.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata angka positif tersebut boleh dicapai apabila usaha mencerdaskan ekonomi dalam negara telah dimulakan.

“Peranan perusahaan kecil dan sederhana serta industri itu penting, kita nak menggalakkan rakyat dan pengguna tingkatkan perbelanjaan.

“Adanya perbelanjaan, saya percaya kita boleh tingkatkan aktiviti ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan telah memberikan inisiatif besar melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

“Pakej rangsangan yang berjumlah RM295 bilion itu memberikan kesan yang positif kepada rakyat.

“Kita mahu perkara ini diteruskan supaya ekonomi negara dapat pulih dalam masa terdekat

Azmin meneliti produk aluminium yang dihasilkan kilang Stellar Focus Sdn Bhd.

Azmin meneliti produk aluminium yang dihasilkan kilang Stellar Focus Sdn Bhd.

“Harapan kita agar unjuran yang dibuat oleh Bank Dunia ini dapat kita catatkan (capai) pada tahun hadapan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas melawat kilang berasaskan aluminium milik bumiputera, Stellar Focus Sdn Bhd di Kampung Sungai Tua, Batu Caves hari ini.

Turut hadir, Orang Besar Daerah Gombak, Tan Sri Wan Mahmud Pa’Wan Teh dan Pengarah Urusan Stellar Focus sdn Bhd, Hamzah Mahmood.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata kerajaan sedang berusaha mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang bernilai tinggi untuk rakyat.

“Kita sedang berusaha mengurangkan kebergantungan tenaga kerja asing.

“Ini juga yang dilakukan Stellar Focus Sdn Bhd yang telah berkembang dengan menggunakan tenaga kerja tempatan.

Ini usaha yang perlu mendapat dokongan daripada kerajaan persekutuan atau negeri,” katanya.

-NAZ

 

Tinggalkan komen anda