Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

YaPEIM Belanja RM7.11 Juta untuk Program Food Bank Sejak 2019

By 11 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 11 Jul (Malaysiaaktif) – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) telah membelanjakan RM7.11 juta untuk program Food Bank yang memberi manfaat kepada 386,977 orang dalam tempoh September 2019 hingga Jun tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata daripada jumlah itu RM3.34 juta telah dibelanjakan memberi manfaat kepada 149,627 orang dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Meskipun kerajaan telah membuka semula ekonomi negara dengan lebih luas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dilaksanakan, namun masih ramai keluarga terjejas mata pencariannya termasuklah ada yang telah kehilangan kerja.

“YaPEIM melalui program Foodbank YaPEIM 2.0 dan Program Inspirasi Musaadah COVID-19 akan menyalurkan sumbangan barangan keperluan asas melibatkan makanan kering dan keperluan ready to eat (sedia untuk dimakan) kepada keluarga miskin dan B40 yang terjejas,” katanya kepada pemberita semalam.

Terdahulu, beliau menghadiri program Inspirasi Musaadah COVID-19 YaPEIM di Rembia, Melaka dan pada majlis itu seramai 200 keluarga dari Dewan Undangan Negeri Rembia di sini menerima sumbangan barangan keperluan asas antaranya beras, gula, minyak dan tepung bernilai keseluruhan RM12,500.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata sumbangan tersebut bertujuan meringankan beban golongan terlibat dan merapatkan tali persaudaraan ukwah islamiah antara sesama penerima.

Beliau berkata program berkenaan melibatkan penyertaan lebih banyak pihak termasuk Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) Jabatan Perdana Menteri, Yayasan Waqaf Malaysia dan Japerun Rembia.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli menggesa golongan transgender di negara ini agar kembali kepada fitrah semula jadi dan kerajaan menerusi portfolionya konsisten dalam menangani isu berkenaan.

Beliau berkata pihaknya juga akan menggerakkan beberapa institusi untuk memberi kefahaman jelas, melakukan berbincangan dan berdialog dengan golongan transgender ini secara lebih baik dan aktif dalam usaha membawa mereka kembali kepada fitrah semula jadi.

“Berkenaan penguatkuasaan ke atas golongan transgender terlibat, kita perlu tahu dalam agama ada bidang kuasa negeri dan kita kena faham tentang beberapa enakmen yang terkait dengan isu ini. Jadi perkara ini perlu difahami…kerana kita ada prosedur operasi standard, enakmen dan kuasa majlis agama atau kerajaan negeri yang sewajarnya kita hormati.

“Saya akan cuba berbincang dan mencari satu titik persamaan, titik kerjasama yang baik daripada semua pihak. Bahkan saya juga mengalu-alukan buah fikiran yang baik, penyelesaian yang baik supaya kita semua berada pada landasan sebenar dan matlamat kita biarlah sama-sama menuju ke arah mencapai keredaan Allah,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda