PUTRAJAYA, 1 Jul (Malaysiaaktif) – Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Celcom Axiata mewujudkan satu hab usahawan digital dan smart belia bertujuan membuka peluang pekerjaan baharu kepada golongan belia dalam menghadapi cabaran pasca-COVID-19.
Timbalan Pengerusi Biro Perindustrian, Ekonomi dan Keusahawanan MBM, Nurliana Muhammad berkata hab usahawan digital dan smart belia ini berkonsepkan usahawan sosial yang memberi peluang, bantuan dan pembudayaan platform digital bagi menerokai peluang pekerjaan dan sebagainya.
“Kita menyediakan lebih banyak peluang baharu dalam bentuk norma baharu…peluang pekerjaan bukan hanya terhad kepada elemen tradisional.
“Apabila banyak ruang dan peluang baharu diwujudkan, maka lagi banyak peluang pekerjaan dapat dilahirkan sekali gus dapat mengurangkan kadar pengganguran dalam golongan belia,” katanya dalam program ‘Darah Muda: Lepas COVID-19, Nak Kerja Apa?’ terbitan Bernama TV, malam ini.
Menurut beliau, ia adalah berpandukan kepada Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) dan sasaran MBM adalah untuk membantu lima golongan belia iaitu B40, miskin bandar, ibu tunggal, Orang Asli dan orang kurang upaya (OKU).
“Biasanya, golongan belia ini jika buat sesuatu (pekerjaan) yang mereka minat, mereka boleh pergi lebih jauh. Sebab itu, kita mahu wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan baharu seperti keusahawanan.
“Mereka (belia) juga perlu pandai merebut peluang, bahkan Malaysia boleh capai sifar pengangguran sekiranya ada ‘satu belia satu usahawan’,” katanya.
— BERNAMA