Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Permohonan Kini Dibuka untuk Skim Bantuan dan Inisiatif MyCreative

By 23 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 23 Jul (Malaysiaaktif) – MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) telah membuka permohonan untuk pelbagai skim bantuan dan inisiatif di bawah 10 sektor kecil kreatif selaras dengan Pelan Jana Semula Ekonomi Nehara (PEJANA).

Pengerusinya Mohd Naguib Razak berkata skim dan inisiatif tersebut meliputi penciptaan kandungan (termasuk filem, kandungan penyiaran dan penstriman dan permainan video), muzik, fesyen, seni persembahan, seni visual, sastera, seni tradisional dan kebudayaan, seni kulinari, reka bentuk dan pendidikan kreatif.

Pemohon boleh memanfaatkan pelbagai skim dan inisiatif seperti geran acara langsung, geran pemasaran digital, skim padanan pelaburan serta pinjaman mudah faedah rendah.

“Langkah ini akan diperkemaskan lagi menerusi program Digital Velocity Industri Kreatif MyCreative yang merangkumi latihan pemasaran dan promosi digital, bantuan penyambungan serta khidmat nasihat,”  katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur semalam.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM255 juta bagi merangsang pertumbuhan industri kreatif menerusi program dan pinjaman mudah di bawah PENJANA, pada 5 Jun lalu.

Mohd Naguib berkata MyCreative mengakui mandat ini membawa tanggungjawab besar untuk melaksanakan langkah-langkah ini dengan cara yang paling cepat lagi berkesan sambil terus menambah nilai pada industri, menjamin masa depan industri kreatif dan memastikan suara industri ini kedengaran.

“Peranan secara keseluruhan MyCreative adalah untuk membantu perniagaan dan penggiat industri kreatif berhijrah ke landskap digital agar dapat kekal relevan dan berdaya saing dalam era norma baru.

“Di samping sokongan kewangan secara langsung kepada perniagaan kreatif, MyCreative juga ingin memberikan sokongan secara tidak langsung di bawah Program Digital Velocity Industri Kreatif, dalam bentuk nasihat, latihan dan rangkaian agar pengamal industri kreatif dapat menggabungkan dimensi digital atau dalam talian dengan lebih baik bagi perniagaan,”  katanya.

Beliau berkata  MyCreative juga telah mengatur kolaborasi dengan sektor swasta, bermulakan dengan Google, Facebook dan Yes, untuk membantu individu menyesuaikan diri dengan norma baharu melalui latihan kaedah pengedaran dan promosi digital, pembangunan model perniagaan baharu serta penyambungan atau ‘connectivity’.

Pemohon boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari  http://www.mycreative.com.my/ untuk pengumuman penuh dan maklumat tambahan mengenai Inisiatif Pemulihan CENDANA boleh didapati di laman web https://www.cendana.com.my/.

MyCreative merupakan salah satu cabang pelaburan kerajaan yang bermatlamat meningkatkan industri kreatif tempatan ke tahap lebih tinggi menerusi kewangan strategik dan inovatif sama ada dalam bentuk ekuiti ataupun pinjaman.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda