
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Mohd Khairi Sidik (Alor Setar)
YAN, 6 Jul (Malaysiaaktif) – Jika datang ke Negeri Kedah terutamanya di Sedaka Yan, jangan lupa menikmati kesegaran air nira di Ladang Nipah Ismail Che Kar malah ia juga dapat menyejukkan badan dan menghilangkan dahaga dikala cuaca panas.
Ladang Nipah Ismail Che Kar sudah mula terkenal sejak tahun 2008 dengan pokok nipah yang mempunyai air nira segar, yang diambil terus daripada pokok di sini dan pengunjung boleh melihat sendiri proses mengumpul air nira sehingga ia dijadikan minuman.
Menurut pengusaha Ladang Nipah Ismail Che Kar, Rohana Ali, 53, kesegaran air nira yang dihasilkan di ladang beliau sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan dari seluruh pengunjung dari dalam negeri dan luar negeri.
“Selain dapat menghilangkan dahaga dengan tarikan rasa yang menakjubkan, air nira juga didakwa mempunyai khasiatnya yang tersendiri, terutamanya nira segar yang baru diambil daripada pokok boleh menyembuhkan penyakit darah tinggi.
“Air nira boleh dijadikan cuka nipah dimana khasiatnya juga bagi mencuci buah pinggang, darah tinggi dan juga batu karang,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Menurut Rohana, kejayaannya hari ini sedikit sebanyak didorong oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang memberikan bantuan khidmat nasihat serta bantuan lain dalam memajukan perniagaannya.
“Sejak 2008, saya telah menerima bantuan daripada MADA seperti penambakan batu di kawasan ladang nipah yang dulunya kawasan paya, saya turut menerima bantuan pembinaan sebuah surau dan pusat jualan bagi insfrastruktur dan kualiti perkhidmatan Pusat Agro Pelancongan Ladang Nipah Ismail Che Kar.
“Ladang ini menempatkan kira-kira 300 pokok nipah diubah suai dengan konsep kedai makan dalam ladang dan bersyukur hasil bantuan yang disalurkan kerajaan menaikkan struktur ladang nipah ini hingga menjadi tarikan para pengunjung yang datang kesini,” katanya.
Menurut seorang pengunjung yang ditemui, Rohayu Ghazali, 40, selain dapat menikmati air nira yang segar, suasana kedai ini dilengkapi dengan keindahan pokok-pokok nipah, yang mana semakin hari semakin pupus di kawasan lain.
-SH