Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

PL dan JPS Bantu Atasi Masalah Banjir Kilat di Labuan

By 6 Julai 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 6 Julai (Malaysiaaktif) – Perbadanan Labuan dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan mengambil beberapa inisiatif untuk mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku di Labuan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PL, Dr. Fary Akmal Osman, PL bersama JPS dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Labuan akan membantu kampung-kampung terlibat dengan pendekatan yang sesuai.

“Contohnya di Kampung Ganggarak kita akan besarkan laluan air kerana disekitarnya yang ditumbuhi pelbagai pokok dan tanaman, manakala di kampung Kilan kita akan minta MPP dan Ketua Kampung bersama penduduk kampung mendalamkan parit agar air dapat mengalir ke sungai-sungai yang telah didalamkan JPS.

“Di Kampung Sungai Miri laluan air telah kita ubah kerana sebelum ini sungai itu mengalir melalui tanah milik individu dan kita syorkan aliran air akan ditambah bagi melancarkan pengaliran air ke laut,” katanya yang ditemui pada Misi Bantuan Pasca Banjir, di sini semalam.

Dr. Fary (tiga dari kanan) bersama-sama para penerima bantuan Tabung Pengurusan Bencana Perbadanan Labuan.

Dr. Fary (tiga dari kanan) bersama-sama para penerima bantuan Tabung Pengurusan Bencana Perbadanan Labuan.

Jelas Dr. Fary, langkah-langkah lain untuk mengatasi banjir kilat telah dikenalpasti seperti menambah pam untuk tujuan pelepasan air keluar ke laut sekiranya kejadian banjir kilat berlaku bersekali dengan kejadian air pasang sepertimana yang terjadi sebelum ini.

“JPS telah menerima peruntukan berjumlah RM1.3 juta pada tahun ini bagi kos penyelenggaran sungai dan parit monsun manakala bagi kawasan Rancha-Rancha yang mengalami isu pemasalahan banjir yang telah sekian lama turut mendapat kelulusan peruntukan daripada pihak Unit Perancangan Ekonomi berjumlah RM4.5 juta bagi tempoh tiga tahun untuk tujuan penyelesaian isu berkaitan.

“Diharapkan dengan kelulusan peruntukan yang diperolehi oleh pihak JPS dan inisiatif yang diambil oleh pihak PL akan dapat membantu menyelesaikan masalah banjir di pulau ini,” katanya.

Dr. Fary (tiga dari kanan) bersama Pegawai Perbadanan Labuan meninjau sistem perparitan di salah satu lokasi.

Dr. Fary (tiga dari kanan) bersama Pegawai Perbadanan Labuan meninjau sistem perparitan di salah satu lokasi.

Tambahnya, menerusi Misi Bantuan Pasca Banjir, wang ehsan telah diagihkan kepada penduduk di Kampung Sungai Miri, Kampung Ganggarak dan Kampung Kilan yang terjejas dengan kejadian banjir kilat pada bulan lalu.

“Selain itu, bantuan turut diedarkan secara berasingan kepada penduduk-penduduk di dua buah kampung yang berlainan iaitu di Kampung Rancha-Rancha dan Kampung Layang-layangan menjadikan kira-kira 19 buah keluarga secara keseluruhan menerima manfaat daripada Peruntukan Tabung Pengurusan Bencana Perbadanan Labuan ini.

“Setiap keluarga akan menerima wang tunai sebanyak RM500.00 secara sekali beri untuk membantu warga WP Labuan yang mengalami sebarang musibah seperti banjir, kebakaran, kerosakan akibat ribut dan lain-lain musibah yang tersenarai di dalam bantuan tabung bencana tersebut,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda