Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

500 Baucar Minyak Percuma Diedarkan

By 6 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Parimala Devi Suppiah (Jelebu)

JELEBU, 6 Jul (Malaysiaaktif) – Sebanyak 500 baucar minyak dan penutup muka diedarkan kepada penunggang motosikal yang hadir mengisi minyak percuma di sini semalam.

Ahli Parlimen Jelebu Datuk Jalaluddin Alias, berkata program isi minyak motor percuma bukan satu program baharu tetapi ia telah dimulakan sejak tahun 2015 tetapi dihentikan sementara selepas kekalahan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 tempoh hari.

“Program ini akan dilaksanakan mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Jelebu iaitu DUN Klawang, DUN Chennah, DUN Pertang dan DUN Sungai Lui sehingga bulan Disember nanti.

Jalaluddin menunjukkan kupon Jom Isi Minyak Percuma yang diedarkan kepada penunggang motosikal di sekitar kawasan Jelebu, di sini semalam.

Jalaluddin menunjukkan kupon Jom Isi Minyak Percuma yang diedarkan kepada penunggang motosikal di sekitar kawasan Jelebu, di sini semalam.

“Matlamat utama program adalah untuk membantu mengurangkan beban anak-anak muda dan masyarakat luar bandar dalam soal penggunaan minyak dan keduanya supaya dapat menghasilkan konsep perpaduan antara kaum kerana minyak ini diberi bukan untuk kaum tertentu atau golongan sasaran sahaja tetapi ia diberi kepada semua penunggang motosikal yang datang mengisi minyak hari ini,” katanya ketika ditemui dalam Program Jom Isi Minyak Percuma DUN Klawang.

Jalaluddin turut meyakini konsep perpaduan merupakan formula yang amat penting dalam memperkukuhkan semangat bersatu padu antara masyarakat serta kestabilan ekonomi terutamanya kepada mereka yang berada di luar bandar.

Bagi seorang penduduk Kuala Klawang, Soriakumar, 51, berkata program-program sebegini perlu diteruskan lagi supaya dapat meringankan kos perbelanjaan yang ditanggung oleh ketua keluarga lebih-lebih lagi ketika wabak COVID-19.

“Walaupun ada yang tidak bersyukur menerima baucar RM5, tetapi bagi saya sangat berterima kasih kerana ia adalah nilai yang besar serta cukup untuk isi minyak sebuah motosikal,” ujarnya.

-SH

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda