Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Rukun Negara Kunci Perpaduan

By 28 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Musliha Yusof (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 28 Jul (Malaysiaaktif) – Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 adalah satu falsafah yang harus dijadikan pegangan hidup semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau bangsa.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya semasa Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara pada 9 Julai yang lalu, menyeru agar semua masyarakat saling hormat-menghormati dan kasih-mengasihi sesama manusia bagi membentuk satu perpaduan yang harmoni sentiasa.

“Lima prinsip Rukun Negara yang berhubung dengan kehidupan masyarakat perlu terus diperkasakan kerana ia mampu menyatupadukan rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama bagi membina sebuah negara bangsa yang berdaulat dan disegani.

“Nilai-nilai murni inilah yang mesti sentiasa kita pupuk dan suburkan di dalam masyarakat demi mempercepatkan lagi perpaduan sesama kita,” katanya.

Larvaniaa Kandapan bersyukur kerana bapanya telah mendidiknya untuk menghargai erti Kemerdekaan.

Larvaniaa Kandapan bersyukur kerana bapanya telah mendidiknya untuk menghargai erti Kemerdekaan.

Malaysia Aktif berkesempatan menemu ramah seorang suri rumah, Larvaniaa Kandapan, 25, yang bersyukur kerana bapanya telah berjaya mendidiknya untuk menghargai erti sebuah kemerdekaan sejak beliau berusia 11 tahun lagi melalui penghayatan Rukun Negara yang telah sebati dengan dirinya.

“Saya percaya bahawa lima prinsip Rukun Negara yang diterapkan dalam semua aspek kehidupan kita mampu menjadi panduan asas pembentukan negara bangsa kita, sekaligus manjadi bimbingan sahsiah unggul kepada generasi muda,” ujarnya.

Menyedari kepentingan semangat jati diri dan cintakan negara, beliau mengikut jejak langkah ayahnya dalam memberi pendedahan kepada ketiga-tiga orang anaknya untuk memahami maksud Rukun Negara dengan cara meyemarakkan Bulan Kebangsaan yang disulami dengan nilai murni dan paling penting menjiwai negara.

“Saya cintakan Malaysia kerana ini Negara saya,” kata Yaashen, 6, dengan penuh semangat sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Tambah Larvaniaa, rakyat Malaysia perlu menjiwai prinsip-prinsip Rukun Negara kerana ia merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum di Negara ini.

“Rukun Negara bukanlah sekadar prinsip yang hanya dilafazkan dengan ikrar tetapi ianya menuntut kesungguhan setiap warganegara untuk menghayati dan mengamalkannya,” katanya.

-NI-

Tinggalkan komen anda