Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Rumah Pusaka Minangkabau 100 Tahun Masih Utuh

By 23 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Malini Md Yunos (Rembau)

REMBAU, 23 Jul (Malaysiaaktif) – Di Kota, di sini, terdapat sebuah rumah tradisional unik yang menjadi perhatian kerana mempamerkan reka bentuk bumbung panjang yang melentik bersifat Minangkabau. Pengguna jalan raya laluan Seremban-Tampin pasti terperasan kewujudan rumah ini yang menonjolkan seni kraf kayu yang indah.

Menurut pemilik rumah, Anuar Mohd Jani, 66, rumah berbentuk Minangkabau ini punyai tarikannya tersendiri.

“Rumah ini asalnya dari Taboh Naning, dipindahkan ke tapak rumah sekarang oleh Penghulu Bakar. Proses membina semula rumah ini dilakukan dengan cara istimewa iaitu struktur rumah dileraikan dan dihantar ke tapak rumah baharu.

“Uniknya, rumah yang dipindahkan telah dipasang semula seperti bentuk asal tanpa ada perubahan pada reka bentuk atau penambahan ruang dan rumah ini tetap kekal sama seperti semasa di Taboh Naning,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini baru-baru ini.

Menurut Anuar, antara keistimewaan rumah Minangkabau ini adalah, tiada sebarang paku digunakan untuk menguatkan sendi rumah tetapi dibina menggunakan pasak daripada kayu jenis merbau dan cengal.

Atap Genting dengan Bunga Kerawang menjadi identiti bagi reka bentuk rumah Minangkabau.

Atap Genting dengan Bunga Kerawang menjadi identiti bagi reka bentuk rumah Minangkabau.

“Usia rumah ini dianggarkan lebih 100 tahun dan masih utuh sehingga kini. Rumah ini lengkap dengan bilik, loteng, serambi dan tangga namun ia dibina sedikit tinggi bagi menonjolkan tiang seri rumah yang kukuh.

“Bumbung rumah pula menggunakan atap genting bercirikan rekabentuk seni kerawang menggunakan besi dengan ukiran bunga yang amat indah,” katanya.

Rumah berkeluasan 1.5 ekar ini menjadi perhatian ramai orang kerana masih mengekalkan ciri-ciri Minangkabau yang sangat sinonim dengan Adat Perpatih di negeri ini.

Dalam pada itu, menurut Pegawai Penerangan Daerah Rembau Sapar Sutir, 54, generasi muda masa kini lebih tertarik memiliki rumah kediaman bercirikan rekaan moden berbanding mewarisi rumah pusaka.

“Anak-anak sekarang bila sudah berkahwin dan berkeluarga lebih suka duduk di bandar, jadi rumah pusaka yang diwarisi daripada keluarga sepi ditinggalkan terbiar.

“Melihat kepada rumah Minangkabau ini dijaga rapi oleh tuannya saya yakin identiti rumah tradsional ini dapat dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang,” katanya ketika ditemui semasa menjalankan aktiviti Info on Wheels, di sini.

Tinggalkan komen anda