Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Zuraida Mohon KPM Bantu SK Ampang Campuran

By 23 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

AMPANG, 23 Jul (Malaysiaaktif) – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin memohon Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membaik pulih bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Ampang Campuran yang mengalami kerosakan dan kebocoran yang teruk.

Menurutnya, pihak sekolah telah menyenaraikan beberapa keperluan dan bantuan berikutan bangunan sekolah berusia lebih 20 tahun yang perlu dibaiki dan dicat semula.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata pihaknya telah meluluskan peruntukan RM79,000 bagi membaik pulih kerosakan di sekolah tersebut termasuk membaiki paip air yang bocor.

“Sekolah juga mengalami masalah pada tangki air mengakibatkan kebocoran teruk pada tandas tingkat satu hingga tiga yang memerlukan peruntukan daripada KPM sendiri.

“Sebelum ini kita telah selesaikan isu paip air yang bocor dan berkeladak, ianya telah dibaiki dan dapat disalurkan ke seluruh kawasan sekolah.

“Peruntukan berkenaan juga akan digunakan untuk membina enam buah tandas, dan bengkel untuk pelajar Kelas Pendidikan Khas,” katanya.

Menurutnya, isu lain adalah berkaitan membuka semula laluan di Jalan Ikan Jelawat mengurangkan kesesakan jalan raya sekitar kawasan sekolah berkenaan.

“Saya telah minta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk membuka jalan tersebut untuk menyelesaikan kesesakan.

“Sebenarnya di situ ada jalan yang boleh dilalui ke jalan besar iaitu menghala ke jalan Pandan Indah namun disebabkan berlaku pencerobohan, jalan tersebut telah ditutup,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas lawatan ke sekolah berkenaan, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Talha dan Guru Besar SK Ampang Campuran, Fadzil Ariffin.

-NAZ

Tinggalkan komen anda