Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

SMK Mutiara Hasilkan Hiasan Dinding Jalur Gemilang Daripada Bahan Kitar Semula

By 17 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/Azri Onn

LABUAN, 17 Jul (Malaysiaaktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara berjaya menghasilkan hiasan dinding berlatarbelakangkan Jalur Gemilang berukuran 16 kaki panjang dan 8 kaki lebar daripada bahan kitar semula.

Menurut Pengetua SMK Mutiara, Mohd Nizam Yasim, penghasilan hiasan daripada bahan kitar semula ini bukan hanya dari aspek fizikalnya sahaja tetapi ia perlu dilihat sebagai sebuah karya seni.

“Bermula daripada perancangan sehingga pelaksanaan, semuanya telah memberi gambaran dan menifestasi daya kreativiti, kesungguhan, keazaman dan keprihatinan guru-guru SMK Mutiara dalam menghasilkan sesuatu karya seni.

“Saya telah dapat melihat guru-guru dan ibu bapa memberi kerjasama yang sangat padu dalam menjayakan projek ini,”katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Para ibu-bapa dan guru bergotong-royong menghasilkan hiasan tersebut dengan menggunakan bahan terbuang.

Para ibu-bapa dan guru bergotong-royong menghasilkan hiasan tersebut dengan menggunakan bahan terbuang.

Beliau melahirkan rasa penghargaan dan terima kasih atas kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh guru-guru dan PIBG SMK Mutiara dalam menzahirkan rasa kecintaan dan keprihatinan kepada lambang negara ini selaras dengan tema Hari Kebangsaan kali ke-63 iaitu Malaysia Prihatin.

Pengarah Projek Nurazimah Anuar, berkata projek tersebut mengambil masa empat hari untuk disiapkan dengan menggunakan empat jenis bahan kitar semula seperti penutup botol, sarang telur, botol plastik dan ranting kayu.

“Kami telah menggunakan kira-kira 3,000 penutup botol, 100 sarang telur dan 150 botol plastik dalam menyiapkan projek ini.

“Seramai 50 guru dan ibu bapa turut serta dalam projek ini dan semua bahan kitar semula ini adalah sumbangan daripada guru-guru dan ibu bapa” katanya.

Mohd Nizam (dua dari kanan) bergambar kenangan bersama pegawai Jabatan Pendidikan yang melihat sendiri hiasan yang dihasilkan.

Mohd Nizam (dua dari kanan) bergambar kenangan bersama pegawai Jabatan Pendidikan yang melihat sendiri hiasan yang dihasilkan.

Salah seorang bapa murid yang terlibat dalam penghasilan hiasan tersebut, Alias Asri, merasa teruja kerana pertama kali menghasilkan sesuatu karya seni dalam saiz yang besar.

“Pengalaman yang diperolehi banyak mengajar erti kesabaran, ketekunan dan kesungguhan dalam setiap pekerjaan,” jelasnya.

Hiasan yang dipamerkan di foyer Blok B SMK Mutiara bermula 14 Julai itu turut mendapat perhatian Jabatan Pendidikan Labuan apabila mendokumen hiasan Jalur Gemilang tersebut sebagai sebahagian daripada program sambutan kemerdekaan tahun ini dengan tema ‘Malaysia Prihatin’.

-SH

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda