
Laporan/foto: Mohd Syukri Ibrahim (Kemaman)
KEMAMAN, 26 Ogos (Malaysiaaktif) – Sejumlah 1,386 Jalur Gemilang telah diagihkan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) seluruh Daerah Kemaman sebagai persiapan menyambut Hari Kemerdekaan yang bakal tiba tidak lama lagi.
Ahli Parlimen Kemaman Che Alias Hamis, berkata Jalur Gemilang atau Bendera Malaysia merupakan lambang kemegahan dan kedaulatan negara dan amat besar nilainya kepada seluruh rakyat Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka.

Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid mengagihkan Jalur Gemilang kepada kenderaan yang melalui jalan di sekitar tapak program.
“Tanpa sebuah negara yang merdeka kita tidak mampu mencorak arah tuju pembinaan negara bangsa Malaysia mengikut ‘acuan’ kita dan setiap anggota masyarakat bukan sahaja perlu mengenang detik bermakna buat negara ini malah perlu memaknai setiap waktu detik bersejarah tersebut.
“Di samping itu, kita perlu pastikan juga anak-anak muda masa kini tidak terpengaruh dengan budaya barat yang banyak melanggar cara hidup dan syariat agama kita sendiri,” katanya ketika berucap merasmikan Program Pelancaran Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Parlimen Kemaman.
Pengerusi MPKK Taman Alam Perdana, Pasir Gajah, Tengku Abdul Mutalib Tengku Hasan, yang turut terlibat dalam program meluahkan rasa terkilan dengan tindakan memasang Bendera Malaysia secara terbalik oleh segelintir pihak mutakhir ini.
“Sebagai seorang rakyat yang cinta akan kemerdekaan dan kemakmuran negara saya merasa tercabar dengan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang telah memasang Jalur Gemilang secara terbalik dan menggesa agar pihak kerajaan mengambil tindakan yang segera dan tegas kepada mereka kerana tidak menghormati simbol kedaulatan negara,” katanya.

Pengerusi MPKK Taman Alam Perdana, Tengku Abdul Mutalib Tengku Hasan terkilan dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab memasang bendera secara terbalik.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Kemasik Ir Saiful Azmi Suhaili, ADUN Air Putih Abdul Razak Ibrahim, Pegawai Penyelaras DUN Kijal Hazri Jusoh serta Pemangku Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu Saharrudin Mohamed.
-ii-