Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 6 Ogos (Malaysiaaktif) – Belanjawan 2021 akan menumpukan aspek penyediaan pendidikan berkualiti tinggi, pewujudan kerja, memenuhi kerjaya, akses penjagaan kesihatan serta menyokong keusahawanan untuk para belia.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata usaha memperkasa belia itu juga merupakan antara elemen utama dalam merangka belanjawan tersebut.
“Saya percaya apabila golongan belia ini diperkasa, mereka dapat memanfaatkan kemajuan ekonomi dan digitalisasi serta mengetengahkan penyelesaian inovatif untuk menangani cabaran sosial. Pada masa sama, ini juga dapat membantu mencapai Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.
Tengku Zafrul berkata demikian pada sesi dialog awam dengan Komuniti Komuniti Belia Selangor bersempena Jelajah Belanjawan 2021.
Acara itu dihadiri oleh 150 belia serta Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Belanjawan 2021 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 6 November ini, merentasi empat tema utama – mengambil peduli terhadap rakyat, memacu ekonomi, kehidupan yang mampan serta menambah baik penyampaian perkhidmatan awam.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM2 bilion bagi menambah baik serta meningkatkan semula kemahiran pekerja tempatan berikutan isu pengangguran, khususnya akibat pandemik COVID-19.
“Setakat ini, kita telah memanfaatkan sejumlah RM500 juta. Apa yang penting bagi kita adalah untuk melihat kesan akhirnya,” katanya.
Kadar pengangguran Malaysia telah meningkat kepada 5.3 peratus pada Mei 2020 berbanding 5.0 peratus pada April manakala bilangan penganggur bertambah sebanyak 47,300 kepada 826,100 individu, demikian menurut Jabatan Perangkaan.
Bagaimanapun, jabatan itu berkata semakin ramai rakyat telah kembali bekerja susulan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur kecuali bagi sektor tertentu seperti perkhidmatan dan pelancongan yang belum dapat beroperasi sepenuhnya akibat sekatan dan penutupan sempadan antarabangsa.
— BERNAMA