Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Malaysia Sedia Benarkan Jemaah Tunai Umrah, Bergantung Situasi Semasa

By 6 Ogos 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 6 Ogos (Malaysiaaktif) – Tiada masalah untuk membenarkan jemaah Malaysia menunaikan umrah namun ia bergantung kepada situasi semasa penularan COVID-19 dalam negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata pihaknya menyambut baik segala keputusan yang bakal dilaksanakan Arab Saudi namun lebih mengutamakan kemaslahatan dan dari segi kesihatan.

“Jadi, kalau semuanya ok, saya rasa tidak ada masalah tapi buat masa ini dalam situasi kita masih berjaga-jaga, amat perlu kita mengambil langkah-langkah dalam mengawal penularan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan bernilai keseluruhan RM25,000 daripada Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) kepada Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama, Kampung Lambor Kanan, di Parit semalam yang terbakar baru-baru ini.

Zulkifli berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung laporan media Arab Saudi,  yang menyatakan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sedang menilai pembukaan semula Makkah untuk ibadah umrah.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan berlaku peningkatan kos dalam menunaikan ibadah umrah kerana mengambil kira penambahbaikan aspek keselamatan dan kesihatan kerana COVID-19.

Ia kerana kos tambahan dalam menunaikan umrah bagi rakyat Malaysia jika dibenarkan juga akan mengambil kira kos ujian saringan COVID-19 serta beberapa kos tambahan lain yang akan diperhalusi kemudian, katanya.

“Berdasarkan situasi semasa macam kita balik kampung balik raya ada peraturan seumpamanya, jadi tidak pelik kalau berlaku peningkatan kos.

“Namun saya lebih prihatin daripada sudut keselamatan kesihatan dan kepatuhan pada prosedur operasi standard (SOP) yang sewajarnya untuk elak COVID-19,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda