Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

COVID-19: 11 Kes Baharu, 5 Libatkan Kluster Tawar

By 26 Ogos 2020Tiada komen3 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 26 Ogos (Malaysiaaktif) – Sebanyak 11 kes baharu COVID-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas dengan lima daripadanya melibatkan Kluster Tawar, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata perkembangan terbaharu setakat 12 tengah hari itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif wabak tersebut di negara ini sebanyak 9,285 kes sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 ialah 189 kes.

“Ingin dimaklumkan daripada 11 kes baharu yang dilaporkan, dua adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan satu rakyat Malaysia dan satu bukan warganegara.

“Dua kes import tersebut, kedua-duanya di Selangor, ialah dari Filipina dan Indonesia,” katanya pada sidang media COVID-19, di sini semalam.

Mengenai sembilan kes penularan dalam negara, beliau berkata kesemuanya melibatkan rakyat tempatan dengan tujuh kes di Kedah termasuk lima daripada Kluster Tawar.

Dr Noor Hisham berkata satu kes melibatkan saringan prapembedahan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan seterusnya dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan satu lagi kes melibatkan saringan bergejala.

Sementara itu, di Selangor melibatkan satu kes dalam siasatan yang mana kes tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh sementara di Perlis merupakan satu kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di Hospital Tuanku Fauziah, katanya.

Menurut DR Noor Hisham, sehingga kini terdapat lapan kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan enam kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 125 kes iaitu 1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata terdapat enam kes telah pulih COVID-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan  itu sebanyak 8,971 kes iaitu 96.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Mengulas lanjut mengenai Kluster Tawar, Dr Noor Hisham berkata lima kes baharu yang dilaporkan bagi kluster itu pada hari ini menjadikan jumlah kes dalam kluster ini sebanyak 70 setakat ini.

“Kelima-lima kes baharu ini melibatkan pelajar sebuah sekolah rendah di negeri Kedah. Mereka telah dikenal pasti melalui pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat kes-kes positif kluster ini. Hasil siasatan mendapati mereka adalah kontak rapat kepada kes ke-9197 yang merupakan seorang pelajar prasekolah (kes ini telah dilaporkan pada 16 Ogos 2020),” jelasnya.

Menurutnya sejak kes dikesan hingga 12 tengah hari tadi, seramai 3,547 orang telah disaring dalam kluster berkenaan di Kedah, Pulau Pinang dan Perak iaitu di Kedah seramai 3,018 individu dengan 59 dikesan positif, 2,717 lagi didapati negatif manakala 242 masih menunggu keputusan.

“Di Pulau Pinang pula 518 telah disaring, 11 positif dan selebihnya negatif manakala di Perak kekal 11 saringan yang mana semua adalah negatif. Tiada saringan baharu. Saringan kontak rapat dan aktiviti di lapangan akan diteruskan. Situasi semasa kluster ini dan lain-lain kluster akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata Dr Noor Hisham.

Katanya KKM juga mengingatkan semua sekolah agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan Majilis Keselamatan Negara (MKN) termasuk SOP sebelum, semasa dan selepas sesi persekolahan.

Beliau turut menyarankan ibu dan bapa memainkan peranan menasihati dan mendidik anak-anak mereka yang masih bersekolah tentang amalan-amalan yang perlu dipraktikkan bagi mencegah jangkitan COVID-19 di dalam bas sekolah, bilik darjah dan semasa sebarang aktiviti sukan atau kurikulum.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda