Skip to main content
HomePutrajaya

Parlimen: 4,400 Unit PPR di Sabah Dalam Pembinaan – KPKT

By 25 Ogos 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Sebanyak tujuh projek melibatkan 4,400 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) sedang dibina di Sabah, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Abd Mutalib berkata jumlah itu melibatkan pembinaan 900 unit PPR Ulu Perasan, Kota Belud; PPR Sapagaya (410) dan PPR Tungku (650), Lahad Datu; PPR Pitas (440), Kudat; PRR Kampung Kiansom Besar (1,000), Inanam; Tagasan (500), Semporna; dan PPR Gayang 2 (500), Tuaran.

Katanya terdapat dua lagi program perumahan di negeri itu yang sedang dilaksanakan di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) melibatkan projek Rumah Mampu Milik (RMM) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR).

“Setakat 31 Mei tahun ini, sebanyak 9,988 unit RMM siap dibina, 275 unit dalam pelaksanaan dan 2,612 unit lagi dalam perancangan, manakala bagi RMR pula sebanyak 1,107 unit telah siap, 176 unit sedang dilaksana dan 197 unit dalam perancangan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) mengenai sama ada kementerian tersebut bercadang membina lebih banyak PPR di Sabah serta status permohonan RMR dan RMM di negeri itu.

Mengenai penangguhan projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) di kawasan Kimanis yang dirancang sebelum ini, Ismail berkata projek itu masih ditangguhkan berikutan penilaian kementerian mendapati kos pembinaannya terlalu tinggi dan dikhuatiri menyebabkan bakal pemilik tidak mampu membeli rumah terbabit.

Bagaimanapun kementerian bersedia meneliti semula projek berkenaan demi kepentingan dan keperluan rakyat di situ, katanya menjawab soalan tambahan Mohamad mengenai projek perumahan PR1MA di Kimanis yang ditangguhkan kerajaan terdahulu.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda