Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

Kemerdekaan Harus Dipelihara dan Dipertahankan

By 11 Ogos 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Zuraida MD Nor Aidi (Jempol)/Mohd Khairulnizam Mohd Yunus (Negeri Sembilan)

JEMPOL, 10 Ogos (Malaysiaaktif) – “Seiring dengan kepesatan dan kemajuan negara, hari ini rakyat menikmati pelbagai kemudahan dan kesenangan, dari sebuah daerah terpencil dan agak jauh ketinggalan, kini ternyata banyak perubahan yang berlaku.

“Dahulu banyak kawasan belum diteroka, malahan jalan-jalan masih dicelah belantara, pengangkutan dahulu juga masih banyak menggunakan kereta lembu,” demikian cerita yang disampaikan oleh Mansor Ujang anak kelahiran Jempol berkenaan keadaan daerah ini pada awal kemerdekaan semasa program Merdeka@Komuniti Ahad lalu.

Tambah beliau, negara sekarang begitu pesat membangun, justeru, adalah amat penting untuk generasi muda mengetahui sejarah dahulu agar sentiasa sayang dan memelihara kesepaduan yang ada.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jempol, Mohd Salim Shariff dalam ucapannya berkata kesinambungan kemerdekaan yang telah diperjuangkan dan yang dikecapi hari ini perlulah dihargai dan haruslah dipertahankan untuk generasi yang akan datang

“Usaha yang dilakukan oleh pihak Jabatan Penerangan harus dipuji kerana mereka saban tahun terus menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Menurut Salim lagi, semua kaum perlulah sama-sama meraikan pendapat, memperhebat, memperkasa dan menyemarakkan lagi semangat bersatu padu dan jangan sama sekali mencetuskan perselisihan faham yang boleh merosakkan negara yang tercinta.

Majlis yang diadakan secara sederhana tersebut tetap meriah dengan pelbagai pengisian acara seperti pertandingan pakaian patriotik dan pertandingan basikal berhias merdeka yang turut melibatkan kerjasama Kawasan rukun Tetangga (KRT) dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dalam majlis tersebut, Jalur Gemilang turut diedarkan kepada pengerusi-pengerusi taman di sekitar dan juga kepada hadirin bersama program tersebut.

Hadir sama dalam program tersebut Pengarah Penerangan Negeri Sembilan, Shahnon Mohammad.

-AK

Tinggalkan komen anda