Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Lima Kes Baharu Dicatat, Tiga dalam Negara, Dua Import

By 28 Ogos 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – Kes positif COVID-19 terus mencatatkan satu angka dengan hanya lima kes baharu, tiga daripadanya adalah penularan dalam negara, manakala dua lagi adalah kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagi tiga kes penularan dalam negara itu, ia melibatkan tiga warga tempatan iaitu dua kes saringan pra-pembedahan di Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak dan satu kes saringan bergejala di hospital yang sama.

Beliau berkata ini menjadikan jumlah kes positif sebanyak 9,296 kes serta jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 177 kes.

“Dua kes import pula dilaporkan di Selangor, yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu Filipina dan Mesir, juga melibatkan warganegara,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di sini semalam.

Katanya, terdapat 16 kes yang telah pulih daripada COVID-19 pada hari ini, yang membawa kepada jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,994 kes (96.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Sehingga kini, terdapat lapan kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana enam enam kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini, justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes iaitu 1.34 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Mengulas lebih lanjut mengenai Kluster Tawar, beliau berkata memandangkan tiada kes baharu yang dilaporkan pada hari ini, jumlah kes positif COVID-19 kekal sebanyak 73 kes.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda