Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Pelbagai Program Dalam Talian Semarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan JaPen Sabah

By 26 Ogos 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Hamidah Len/Ahmad Sarujin Seting (Kota Kinabalu)

SEMPORNA, 26 Ogos (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah menganjurkan pelbagai pertandingan kenegaraan secara dalam talian bagi menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan kali ini.

Pengarah Penerangan Sabah, Norzawiyah Bulka, berkata antaranya pertandingan yang dianjurkan, Pidato Kenegaraan, Pengisahan Kenegaraan, Fotografi dan Bintang Patriotik ‘Smule’ yang terbuka untuk rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

“Kita harapkan semua program ini mampu meningkatkan kesedaran dan penghayatan kemerdekaan dengan penglibatan menyeluruh semua lapisan masyarakat, kerana bukan mudah untuk menerapkan jiwa patriotik namun dengan semangat dan kesedaran yang ada, kita pastikan keamanan negara terpelihara demi kesejahteraan rakyat.

Penyerahan Jalur Gemilang kepada pengusaha tempatan.

Penyerahan Jalur Gemilang kepada pengusaha tempatan.

“Berhadapan dengan pandemik COVID-19, semua aktiviti dan program JaPen yang dilaksanakan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara iaitu memakai pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan dan amalan penjarakan fizikal,” katanya dalam Program Merdeka @Komuniti Info on Wheels (IoW) Merdeka Peringkat Daerah Semporna 2020, di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan masyarakat memuat turun aplikasi ‘MySejahtera’ bagi memudahkan dan mempercepatkan proses pengesanan kontak rapat sekiranya berlaku jangkitan di sesuatu kawasan.

“Selain itu, amalan 3W iaitu wash atau kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, wear iaitu wajib memakai pelitup muka di tempat awam atau jika kita bergejala dan warn iaitu sentiasa mengikuti peringatan dan nasihat daripada pihak berkuasa khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia.

Norzawiyah berucap semasa majlis Pelancaran Merdeka@Komuniti Peringkat Daerah Semporna 2020, di sini.

Norzawiyah berucap semasa majlis Pelancaran Merdeka@Komuniti Peringkat Daerah Semporna 2020, di sini.

“Normal baharu yang turut perlu diberikan perhatian ialah mengelakkan 3S iaitu kawasan yang sesak, sempit dan bersembang dalam jarak dekat.

“Kita belum menang, tetapi #kitamestimenang dan untuk menang kita wajib mematuhi arahan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” tambahnya.

Pada masa sama, beliau mengajak agar rakyat turut bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

Norzawiyah turut mengucapkan terima kasih kepada semua lapisan masyarakat yang sentiasa mengikuti dan mendapatkan maklumat sahih daripada pihak JaPen terutamanya melalui akaun rasmi media sosial.

-SH

Tinggalkan komen anda