Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Budaya Amalan Kebersihan Tonggak Kehidupan Yang Sihat

By 23 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Ezzaty Razimi/Latifah Salleh (Muar)

MUAR, 23 Sept (Malaysiaaktif) – Kerjasama erat antara Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) para sukarelawan dan masyarakat setempat dilihat mampu menjadi faktor kejayaan dalam “Meneraju Kemakmuran Komuniti Bandar dan Persekitaran Mampan”.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Balang Zaitun Ismail, berkata kejayaan sistem pengurusan sisa pepejal yang moden dan mampan bukan sahaja bergantung kepada dasar dan program yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan semata-mata tetapi ianya harus bermula dengan sokongan padu daripada semua pihak.

“Kerjasama semua pihak dapat mewujudkan negara yang bersih dan masyarakat yang membudayakan amalan kebersihan bagi menjamin kesejahteraan hidup dan kelestarian alam sekitar,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian program World Clean Up Day di Pantai Seri Menanti Muar, baru-baru ini.

Seorang penduduk tempatan yang ditemui, Ridzwan Omar, berkata sistem pengurusan sisa pepejal yang baik seharusnya bermula dari rumah.

“Masyarakat perlu mengasingkan sisa buangan mengikut kategori yang telah ditetapkan iaitu boleh dikitar semula dan tidak boleh dikitar semula agar sisa buangan tersebut tidak dibuang ke tapak pelupusan bagi mengelakkan kepadatan sisa buangan di kawasan tersebut,”ujarnya.

Menurut Penolong Pengarah Penguatkusa Kanan SWCorp Muar dan Tangkak Mohd Khairulnizam Jamil, program seumpama ini perlu dilaksanakan dalam norma kehidupan harian kita tidak kira di mana juga kita berada sama ada  di rumah, pejabat, tempat kerja, tempat rekreasi, tempat awam dan sebagainya dan jadikan ia sebagai budaya kendiri dan keluarga.

“Sikap tanggungjawab dan amanah dalam diri mampu mewujudkan persekitaran hidup yang berkualiti dan mampan menerusi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang efisien selain dapat membina masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran,”ujarnya lagi.

Program World Clean Up Day 2020 turut dijalankan secara serentak di 44 buah lokasi di negeri-negeri yang menerima pakai Akta 672 seperti Perlis, Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

-NI-

Tinggalkan komen anda