Skip to main content
HomePutrajaya

Malaysia Berpotensi Jadi Perintis Dunia Bagi Fintech Islam – MDEC

By 23 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 23 Sep (Malaysiaaktif) – Malaysia mampu muncul sebagai perintis dunia dalam bidang teknologi kewangan (fintech) Islam berikutan kedudukannya sebagai peneraju dalam sektor kewangan Islam.

Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Datuk Wira Dr Rais Hussin berkata Malaysia juga berada pada kedudukan kukuh bagi merebut pelbagai peluang yang ditawarkan oleh fintech Islam.

Beliau berkata, maklumat Tabung Kewangan Islam (IMF) menunjukkan pinjaman bank-bank Islam telah berkembang sebanyak 8.9 peratus tahun ke tahun pada 2018 berbanding 2.5 peratus yang dijana oleh bank-bank konvensional.

“Ini menunjukkan peningkatan permintaan dunia terhadap perkhidmatan kewangan yang patuh Syariah. Kewangan Islam ini telah bertapak kukuh di Malaysia iaitu mewakili 32 peratus kewangan kepada pelanggan.

“Bagaimanapun menurut IMF, fintech Islam di Malaysia masih di peringkat awal dengan hanya segelintir kecil syarikat pemula niaga dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Kedua-dua kelompok itu juga tidak tangkas dalam melonjakkan potensi transformasinya berbanding negara-negara seperti Indonesia,” katanya menerusi kolum ‘Thoughts’ di www.bernama.com Rais turut menyifatkan pertumbuhan fintech Islam di negara ini akan memberi impak terhadap pembangunan di kawasan luar bandar, khususnya dalam kalangan etnik Melayu.

“Ini akan menjadi tunjang bagi komuniti ini dari segi peluang penyertaan kewangan unik yang dapat memastikan mereka mampu seiringan serta meningkatkan sumbangan terhadap pembangunan sosioekonomi Malaysia,” katanya.

Dalam kolum itu juga, Rais turut menyentuh mengenai Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan menyifatkan Malaysia dilimpahi dengan peluang untuk kejuruteraan semula eksperimen manusia menggunakan teknologi yang membabitkan desentralisasi aspek kewibawaan dan penekanan semula pembahagian berdasarkan warna, kepercayaan dan negara – apa yang dilabelkan oleh Jepun sebagai ‘Masyarakat 5.0.’

Malah, katanya, konsep itu kini diterapkan di sini sebagai “Malaysia 5.0.’

“Bagi menjelaskan tahap seterusnya evolusi komuniti masyarakat dan trend sosioekonomi, Masyarakat 5.0 itu diwujudkan dalam persekitaran keperluan bagi masyarakat yang berpaksikan manusia.

“MDEC kini bersedia untuk menggalas peranan sebagai peneraju untuk memangkin peralihan kepada Malaysia 5.0 sebagai satu naratif baharu negara ini, termasuk memperkenalkan dan menggunakan teknologi terkini yang kini disifatkan sebagai alat penting dalam ekonomi digital Malaysia 5.0 yang baharu,” kata beliau.

Menyentuh mengenai cabaran, Rais berkata kebanyakan daripada PKS mikro yang terdiri daripada 21 peratus usahawan wanita atau pengasas PKS di negara ini memerlukan bantuan kerana kekurangan hubungan perniagaan dan kehadiran internet selain mempunyai kesedaran alat dan akses pembiayaan dan pendidikan yang terhad.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda